Sultan Ibrahim murka kejadian pengemudi bot khayal dadah di Mersing

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menzahirkan rasa murka atas kejadian pengemudi bot yang membawa bot secara berbahaya di bawah pengaruh dadah berdekatan Pulau Rawa, Mersing, pagi semalam.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi baginda, Sultan Johor yang mengakui melihat sendiri kejadian itu, berasa kesal dengan kejadian itu.

- Advertisement -

“Saya rasa kesal dengan kejadian yang berlaku betul-betul di depan mata saya. Saya lihat mereka bawa bot penumpang dengan laju dan berbahaya dekat jeti Pulau Rawa. Saya arahkan pihak polis menahan bot tersebut yang di dalamnya ada membawa satu keluarga dengan anak-anak kecil untuk aktiviti keliling pulau,” titah baginda.

Justeru, Sultan Ibrahim mengarahkan agar semua agensi penguatkuasaan untuk meningkatkan rondaan dan mengambil tindakan tegas.

“Setelah pihak polis buat penahanan dan siasatan lanjut, jelaslah tindakan mereka memandu bot dengan tidak tentu arah kerana kesan pengaruh dadah.

“Ambillah tindakan tegas termasuk membatalkan lesen pemandu dan rampas bot yang tidak mengikut peraturan. Perkara seperti ini sangat memalukan industri pelancongan negeri Johor. Saya harap perkara sebegini tidak berulang lagi,” titah baginda.

Semalam, polis menahan dua lelaki yang merupakan tekong dan awak-awak bot pelancong berkenaan selepas didapati membawa bot secara berbahaya bersama lima yang lain di perairan Mersing, dekat pulau berkenaan.

Hasil saringan pihak polis, kedua-dua lelaki berusia lingkungan 22 hingga 26 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine. – BERNAMA

- Advertisement -