Pergolakan politik di Melaka cetus kegelisahan rakyat

- Advertisement -

PERGOLAKAN politik di Melaka menjadikan pentas politik negara sentiasa diisi dengan drama perebutan kuasa yang tidak berkesudahan. Pada saat rakyat belum mampu menarik nafas lega akibat kesempitan ekonomi dan tekanan pandemik COVID-19, segelintir pemimpin politik sibuk mencatur kuasa untuk meneruskan survival politik masing-masing. Tidak sedikit yang meluahkan rasa sedih dan terkilan dengan senario yang sedang berlaku.

Jika diikutkan titah Yang di-Pertuan Agong sama ada melalui ucapan perasmian Sidang Parlimen atau dalam beberapa kenyataan rasmi Istana, sepatutnya setiap ahli politik memberikan tumpuan kepada kepentingan rakyat, bukannya berbalah demi kuasa dan pangkat. Namun nampaknya nasihat dari institusi Istana yang paling tinggi dan disegani itu pun tidak diendahkan oleh kelompok berkenaan. Mungkin ahli politik yang bersikap demikian hanyalah sedikit sahaja, namun tindakan dan lagak mereka menjadi tontonan seluruh rakyat sehingga mengikis keyakinan kepada institusi politik dan kepartian dalam negara.

- Advertisement -

Dalam konteks perkembangan yang berlaku di Melaka, punca kepada pergolakan yang berlaku ialah apabila empat orang Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) mengisytiharkan hilang kepercayaan kepada Dato’ Seri Sulaiman Md Ali, selaku Ketua Menteri. Setelah mendapati dirinya telah hilang kepercayaan dalam DUN, beliau telah menasihati Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk membubarkan DUN. Sebenarnya Perlembagaan memberikan dua pilihan kepada beliau iaitu sama ada meletakkan jawatan atau meminta pembubaran DUN. Dalam hal ini beliau memilih untuk meminta pembubaran DUN. Tindakan ini hampir sama seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Shafie Apdal di Sabah pada 30 Julai tahun lepas, sehingga membawa kepada Pilihan Raya Negeri Sabah pada akhir September 2020.

Pilihan untuk meminta pembubaran DUN adalah hak Ketua Menteri yang mendapati dirinya hilang kepercayaan. Hak ini diperuntukkan oleh Perlembagaan Negeri. Dalam hal ini permintaan Ketua Menteri untuk membubarkan DUN dalam konteks hilang kepercayaan tidak sama dengan nasihat untuk membubarkan DUN dalam konteks biasa. Jika dalam konteks biasa Yang di-Pertua Negeri terikat untuk bertindak berdasarkan nasihat Ketua Menteri, tetapi dalam situasi hilang kepercayaan, terpulang kepada Yang di-Pertua Negeri sama ada ingin memenuhi permintaan atau tidak.

Dalam krisis politik di Perak pada bulan Mei 2009, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Nizar Jamaludin yang telah hilang kepercayaan majoriti waktu itu telah meminta Sultan Perak, Sultan Azlan Shah untuk membubarkan DUN, namun ditolak oleh Baginda. Sebaliknya Baginda telah membuat penilaian terhadap pendirian semua Ahli DUN Perak melalui bertemuan bersemuka dan kemudiannya melantik Menteri Besar baharu iaitu Dato’ Seri Zambry Kadir.

Namun dalam perkembangan yang berlaku di Melaka kini, Yang di-Pertua Negeri memutuskan untuk memenuhi permintaan Ketua Menteri iaitu membubarkan DUN. Keputusan Yang di-Pertua Negeri ini adalah muktamad kerana ia termasuk dalam kuasa budibicara beliau yang disediakan oleh Perkara 19(2) Perlembagaan Negeri Melaka. Oleh itu, ia tidak perlu dijadikan polemik. Tambahan pula tidak nampak secara jelas siapakah calon Ketua Menteri pengganti yang benar-benar mendapat kepercayaan. 

Walaupun Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) disebut sebagai calon yang dicadangkan, namun tidak ada bukti jelas seluruh anggota DUN dari Pakatan Harapan memberikan sokongan kepada beliau. Mungkin atas faktor ini Yang di-Pertua Negeri menerima permintaan Ketua Menteri untuk membubarkan DUN, walaupun beliau sebenarnya boleh menolak permintaan itu dan melantik Ketua Menteri yang baharu.

Memandangkan Ketua Menteri tidak meletakkan jawatan dan tidak diganti oleh Ketua Menteri baharu, maka beliau perlu menggalas tanggungjawab memimpin kerajaan sementara atau ‘caretaker government’ selepas pembubaran DUN. Keadaan ini berbeza dengan situasi pada 2 Mac 2020 apabila Ketua Menteri pada waktu itu Adly Zahari meminta pembubaran DUN tetapi ditolak oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka waktu itu iaitu Tun Dr Mohd Khalil Yaakob. Beliau diminta mengosongkan jawatan dan, dan kekosongan pentadbiran negeri diserahkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri.

Peranan Dato’ Seri Sulaiman Md Ali selaku Ketua Menteri sementara akan terus kekal sehingga PRN dilaksanakan dan kerajaan baharu ditubuhkan. Namun perlu diingat bahawa skop kuasa kerajaan sementara adalah berbeza dengan kuasa kerajaan biasa. Kerajaan sementara tidak boleh membuat dasar baharu, mengikat perjanjian yang penting atau meluluskan projek yang besar. Selain itu, anggota kerajaan sementara termasuklah Ketua Menteri dan Exco-exco tidak boleh menggunakan kedudukannya untuk kepentingan politik yang menguntungkan parti atau dirinya sendiri. 

Walaupun Pilihan Raya Negeri Sarawak telah ditangguhkan sehingga Februari 2022, namun buat masa ini tidak ada apa-apa pengumuman rasmi penangguhan Pilihan Raya Negeri Melaka atas faktor pandemik COVID-19, melalui Proklamasi Darurat. Ketetapan bahawa Pilihan Raya Negeri Melaka perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran DUN adalah berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka khususnya Perkara 19(4). Dalam hal ini SPR bertanggungjawab melaksanakan kehendak Perlembagaan kerana badan itu tidak ada budibicara untuk membuat penangguhan atas alasan apa sekali pun.

Tidak dinafikan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk membuat pengisytiharan Darurat di bawah Perkara 150, jika Baginda berpuas hati bahawa suatu Darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam. Dalam hal ini faktor yang dikaitkan ialah pandemik COVID-19. 

Oleh yang demikian, jika Yang di-Pertuan Agong ingin menggunakan kuasa itu, faktor risiko COVID-19 yang mungkin merebak akibat Pilihan Raya Negeri perlu dibuktikan secara benar, telus dan jujur. Pihak yang perlu terlibat dalam proses ini tentunya Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Malaysia. Antara aspek yang perlu dinilai termasuklah tahap jangkitan COVID-19 khususnya di Melaka, kadar vaksinasi, peraturan ketat sepanjang kempen dan pengundian, jangkaan kehangatan kempen, dan kemampuan jentera penguatkuasa melaksanakan peraturan.

Selain itu ada yang mempersoalkan kenapa PRN perlu diadakan sedangkan Ordinan Darurat perlu terus berkuatkuasa dalam tempoh enam bulan selepas penamatan Darurat. Memang Ordinan Darurat hanya terhenti berkuatkuasa selepas enam bulan tamatnya Proklamasi Darurat. Tetapi jika dirujuk Perkara 150(7), prinsip ini tidak terpakai untuk perkara yang termasuk dalam kategori ‘telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh itu’. Dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, Seksyen 13 yang berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri, menyebut bahawa penangguhan Pilihan Raya Negeri hanya berlaku ‘bagi tempoh Darurat berkuatkuasa’. Oleh itu, apabila Darurat sudah tamat, maka penangguhan tidak lagi wujud.

Kita mengharapkan krisis politik di Melaka ini tidak berjangkit ke negeri-negeri lain. Selepas pelantikan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri baharu, dan selepas wujudnya persefahaman politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan, kita dapat saksikan politik negara menjadi lebih tenang dan fokus dapat diberikan kepada kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara. Kita berharap agar momentum kestabilan politik dan kerajaan di peringkat Persekutuan ini tidak terjejas dengan kemelut politik Melaka. Pentas utama politik adalah untuk berkhidmat dan berbakti, bukannya untuk bersengketa dan berkonfrontasi.

PROF MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah dan penyelidik di Pusat Polisi Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 7/10/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1139212551/posts/10219450102380103/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -