Nabi SAW langsaikan hutang 3 dirham sebelum wafat

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 13)

Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK

- Advertisement -

APABILA hampir wafat, Nabi SAW memanggil orang-ramai. Baginda bersabda:

‘Sesiapa yang ada haknya berkaitan harta denganku, maka ini hartaku, ambillah. Sesiapa yang ada haknya berkaitan maruah denganku, balaslah. Ketahuilah, orang yang paling utama dari kalangan kamu ialah seorang yang ada haknya berkaitan perkara tadi, lalu dia mengambilnya, atau menghalalkannya, lalu aku bertemu Tuhanku dalam keadaan diriku bersih.’

Tiada siapa yang bangun melainkan seorang lelaki, lalu berkata:

‘Wahai RasulAllah! Sesungguhnya engkau berhutang denganku sebanyak 3 dirham.’ Lalu dibayar kepadanya ketika itu juga.

(Tarikh At-Tabari 3/189)

Kisah ini kelihatan ringkas sahaja. Namun, dari sudut nilai di sebaliknya sangat besar. Hikmah dan pengajarannya sangat banyak.

  • Hak manusia mesti diselesaikan di dunia, terutama sebelum meninggal. Jika tidak, ia akan dituntut di akhirat. Kaedahnya: ‘Hak Allah mungkin dimaafkan, tetapi hak manusia agak sukar diselesaikan.’
  • Hak manusia banyak. Ada yang berkait dengan harta seperti hutang, barang pinjam, jualbeli, sewa dan lain-lain. Ada yang berkait dengan maruah diri seperti tuduh seseorang dengan jenayah tanpa bukti, memfitnah dan lain-lain.
  • Nabi SAW adalah manusia. Baginda berurusan dengan orang lain sama seperti orang lain berurusan. Ada bentuk jualbeli. Berlaku hutang dengan orang lain. Mungkin ada yang berkaitan dengan maruah diri orang lain. Namun, Allah tetap memelihara para Nabi dari melakukan dosa. Kalau difikirkan, selama 23 tahun menjadi Nabi dan Rasul, serta 63 tahun hidup, tentu banyak perkara berkait dengan orang lain berlaku. Contohnya seperti kita yang berurusan dengan orang lain. Berapa banyak interaksi, transaksi, komunikasi yang berlaku. Berapa banyak yang betul, dan berapa banyak yang salah. Nabi di akhir umur, menurut kisah ini, ada 3 dirham yang belum dibereskan, dan kemudian selesai dengan mudah.
  • Ayat Al-Quran paling panjang berkait dengan hutang. Satu mukasurat mushaf penuh dengan adab, akhlak, etika, panduan yang berkaitan dengan hutang, menunjukkan isu hutang ini sentiasa melingkari hidup manusia.
  • Berhutang dibenarkan oleh syarak. Yang salah ialah apabila ada duit, tetapi tidak mahu membayar hutang. Nabi bersabda: ‘ Liat bayar hutang bagi seorang yang kaya/ ada duit, ia adalah zalim’. Nabi juga menyebut dalam hadis lain, antara mafhumnya: ‘Orang yang berhutang dan dia mahu melangsaikan hutangnya, maka Allah akan memudahkan baginya perkara itu.’
  • Besarnya kesan tidak membayar hutang ialah sehingga nyawa pun tergantung antara langit dan bumi selepas mati.

Semoga Allah menghindarkan diri kita dari belenggu hutang dan mematikan kita dalam keadaan roh, jiwa, tubuh kita tiada kaitan dengan hak orang lain.

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 7/10/2021

- Advertisement -