Kerajaan galakkan majikan ambil pekerja rakyat tempatan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Program Malaysianization sebagai antara penambahbaikan terhadap Penjana Kerjaya 3.0 di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), bagi meningkatkan pengambilan pekerja rakyat tempatan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim, berkata program ini menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan dengan melonggarkan syarat kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,200.

- Advertisement -

Katanya, Program Malaysianization menggalakkan majikan menggajikan pekerja tempatan bagi jawatan yang kebiasaannya diisi pekerja warga asing.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 107,024 orang kehilangan pekerjaan. Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, seramai 50,482 orang menerima nasib sama,” katanya menjawab soalan lisan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Bachok).

Awang berkata, kerajaan juga menerima 150,839 permohonan majikan bagi menyertai Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 di bawah PEMULIH, membabitkan 1.88 juta pekerja dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM980.52 juta.

Sementara itu, katanya kementerian meminda tempoh kontrak penggajian daripada 12 bulan kepada 6 bulan kepada kategori golongan mudah terjejas, iaitu pekerja berusia 50 tahun ke atas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan bekas banduan.

Katanya, sebanyak 3,671 permohonan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) diterima setakat bulan lalu dan permohonan tersebut diperluaskan bukan hanya kepada pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), malah termasuk graduan baharu. – HARAKAHDAILY 7/10/21

- Advertisement -