ECRL: Kerajaan komited siapkan projek ikut jadual

- Advertisement -

SAYA melahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Wee Ka Siong yang memberi jawapan kepada soalan saya dalam sesi jawapan lisan bagi pertanyaan-pertanyaan di Parlimen pada 5 Oktober 2021. Saya mengajukan soalan berkenaan perkembangan terkini projek ECRL setakat ini dan jangkaan perubahan tarikh siap projek tersebut.

Yang Berhormat Menteri Pengangkutan memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan amat komited untuk memastikan projek ECRL ini dilaksanakan mengikut jadual dan dapat dinikmati oleh segenap lapisan masyarakat secepat mungkin. Komitmen ini dibuktikan apabila sehingga 31 Ogos 2021, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus berbanding jadual sebanyak 25 peratus iaitu sedikit lewat daripada jadual iaitu sebanyak 1.04 peratus akibat daripada pelaksanaan PKP.

- Advertisement -

Bagi Seksyen A iaitu dari Kota Bharu ke Dungun, skim kereta api telah diluluskan pada 14 Mei 2020, merangkumi pembinaan enam buah stesen iaitu Kota Bharu, Pasir Puteh, Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu dan Dungun. Kelulusan ini adalah bertepatan dengan program kerja penyediaan tapak yang telah dilaksanakan bermula pertengahan tahun 2020. Sehingga 31 Ogos 2021 kemajuan kerja fizikal telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus.

Hingga tempoh sama, katanya bagi Seksyen A, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus, manakala bagi Seksyen B, 28.04 peratus berbanding jadual sebanyak 26.9 peratus merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

Jajaran Utara ICR telah sekali lagi diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri pada 31 Mac 2021 dan diluluskan pada hari yang sama. Pada masa ini, Kementerian Pengangkutan menjangkakan tarikh penyiapan bagi Seksyen A, B masih kekal sepertimana yang dijadualkan iaitu pada 31 Disember 2026. Walau bagaimanapun, penyiapan Seksyen C dijangkakan akan mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Disember 2027.

Justeru, saya berharap Kementerian Pengangkutan meneruskan usaha untuk memastikan projek ini dapat disiapkan tanpa sebarang kelewatan. Rakyat negeri-negeri di Pantai Timur telah lama menunggu agar projek infrastruktur ini siap bagi memperoleh manfaat dari segi pengangkutan mahupun sosio ekonomi. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 7/10/2021

- Advertisement -