Covid-19: Biarpun risau, PAS Melaka sedia hadapi PRN

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE

AYER KEROH:
Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPRN) PAS Melaka berada dalam keadaan bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), kata pengarahnya, Bahiki Ismail.

“JPRN juga telah mengarahkan semua jentera pilihan raya PAS Melaka di semua peringkat untuk membuat persediaan dan mengambil langkah-langkah yang perlu,” katanya lagi.

Sambil menyifatkan semua yang berlaku itu sebagai mengejutkan, namun jelas Bahiki, pihaknya akan terus bersiap sedia dengan lebih mantap jika PRN itu dilaksanakan.

- Advertisement -

“Jabatan Pilihan Raya PAS Negeri Melaka semenjak dahulu, selepas PRU14 telah pun menggerakkan jentera bagi menghadapi PRU15.

“Maknanya persediaan awal tu dah ada, tapi kita akan bersedia untuk menghadapi PRN ini dan apa sahaja kemungkinan. Sebab PRN ini pilihan raya negeri, kemungkinan akan melibatkan (jentera) dari luar juga.

“Dan kita bersedia untuk menghadapi apa sahaja keadaan yang ada seperti yang disebut oleh PAS Pusat itu,” ujar beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga turut melahirkan kerisauan apabila PRN itu diadakan dalam suasana pandemik Covid-19 masih belum reda.

“Namun jika PRN ini berlaku kita akan cuba sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab ini, menggerakkan jentera dan mematuhi segala SOP seperti yang telah digariskan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dalam satu sidang media khas di Seri Negeri, pada Selasa memaklumkan bahawa Yang di-Pertua Negeri telah bersetuju untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pembubaran itu adalah susulan daripada sidang media yang dibuat oleh ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Utama Idris Haron bersama dengan tiga lagi ADUN pada Isnin yang menyatakan hilang sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. – HARAKAHDAILY 7/10/2021

- Advertisement -