Transisi pandemik ke endemik perlu sistematik

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KOTA BHARU: Malaysia semakin menghampiri 90 peratus populasi dewasa lengkap divaksinasi bagi membolehkan kerajaan akan memberi kelonggaran rentas daerah dan negeri.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu sudah dijelaskan Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob apabila kadar vaksinasi dewasa mencapai 90 peratus.

Katanya kejayaan tersebut hasil perancangan cekap kerajaan bermula Mei lepas termasuk arahan meningkatkan kadar vaksinasi secara agresif.

Advertisement

Selain itu mempertingkatkan kapasiti sistem kesihatan awam sehingga bilangan kes positif menunjukkan penurunan memberangsangkan.

“Pada bulan ini sudah tiada negeri berada di Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara, dengan majoriti negeri berada di Fasa 2 dan 3 PPN.

“Wilayah Persekutuan Labuan dan Negeri Sembilan sudah pun di Fasa 4,” katanya pada berkongsian di laman sosialnya.

Oleh itu beliau merakam ucapan tahniah kepada semua yang terlibat menjayakan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Bagaimanapun beliau mengingatkan orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah berwaspada memandangkan virus Covid-19 sudah berada dalam komuniti.

“Transisi dari tahap pandemik ke endemik bukan sahaja harus dilakukan dengan yakin dan berani tetapi juga perlu teratur dan penuh sistematik.

“Kita perlu mengambil iktibar dari negara-negara yang mempunyai kadar vaksinasi yang tinggi tetapi bilangan kes positif masih terus meningkat,” ujarnya.

Muhyiddin juga berharap setiap anggota masyarakat harus mengambil langkah proaktif dalam melakukan penilaian risiko kendiri.

Beliau juga yakin kerajaan akan mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memantau dan mengawal risiko penularan virus ini di sektor-sektor yang dilonggarkan.

“Semakin ramai menerima vaksinasi lengkap, semakin ramai yang terlindung daripada dijangkiti dengan teruk oleh virus Covid-19.

“Dengan itu, beban sistem kesihatan awam juga akan berkurang. Ini mendorong lebih banyak kawalan sektor ekonomi dan sosial dilonggarkan dan lebih cepat kita kembali menjalani kehidupan normal baharu,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/10/2021