Soalan-soalan berkaitan situasi di Melaka

- Advertisement -

ADA yang tanya saya soalan-soalan berkaitan perkembangan di Melaka. Berikut jawapan saya:

- Advertisement -

Adakah PRN Melaka perlu dibuat dalam masa 60 hari selepas pembubaran DUN, apa beza dengan PRN Sarawak yang ditangguh hingga Februari 2022 atas pengisytiharan YDP Agong iaitu Darurat? 

Ketetapan bahawa PRN Melaka perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari selepas pembubaran DUN adalah berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka khususnya Perkara 19(4). Dalam hal ini SPR bertanggungjawab melaksanakan kehendak perlembagaan kerana badan itu tidak ada budi bicara untuk membuat penangguhan atas alasan apa sekali pun.

Punca kepada perkara ini ialah kerana Ketua Menteri (KM) sedia ada didapati hilang kepercayaan dalam DUN dan beliau kemudiannya menasihati YDPN untuk membubarkan DUN. Sebenarnya Perlembagaan memberikan dua pilihan kepada beliau iaitu sama ada meletakkan jawatan atau meminta pembubaran DUN. Dalam hal ini beliau memilih untuk meminta pembubaran DUN, sama seperti yang berlaku di Sabah pada tahun lepas. 

Itu hak beliau yang disediakan oleh Perlembagaan. Tambahan pula tidak nampak secara jelas siapakah calon KM pengganti yang benar-benar mendapat kepercayaan. Walaupun Ketua Menteri Melaka Dato’ Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang) disebut sebagai calon yang dicadangkan, tidak ada bukti jelas seluruh ADUN dari PH memberikan sokongan kepada beliau. Mungkin atas faktor ini juga YDPN menerima permintaan KM untuk membubarkan DUN, walaupun beliau sebenarnya boleh menolak permintaan itu dan melantik KM yang baharu sebagai mana yang berlaku kepada bekas Menteri Besar Perak Dato’ Seri Nizar Jamaludin yang diganti oleh Dato’ Seri Zambry Kadir pada tahun bulan Mei 2009 dahulu. 

Mengambil kira situasi COVID-19 yg masih belum reda sepenuhnya dan mengambil pengajaran daripada PRN Sabah, adakah YDP Agong boleh mengisytiharkan Darurat di Melaka bagi menangguh dahulu PRN Melaka?

Memang Agong ada kuasa membuat pengisytiharan Darurat di bawah Perkara 150 jika Baginda berpuas hati bahawa suatu Darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam. Dalam hal ini faktor yang dikaitkan ialah pandemik COVID-19. Jadi jika YDPA ingin menggunakan kuasa itu, faktor risiko COVID-19 yang mungkin merebak akibat PRN perlu dibuktikan secara benar, telus dan jujur. Pihak yang perlu terlibat dalam proses ini tentunya KKM, MKN, SPR dan PDRM. Antara aspek yang perlu dinilai termasuklah tahap jangkitan di Melaka, vaksinasi, SOP kempen dan pengundian, jangkaan kehangatan kempen, dan kemampuan jentera penguatkuasa.

Darurat yang diisytihar Agong sebelum ini tidak diungkaikan, adakah ia berjalan automatik selama 6 bulan selepas tamat Ogos lepas?

Memang Ordinan Darurat hanya terhenti berkuatkuasa selepas enam bulan tamatnya Proklamasi Darurat. Tetapi jika dirujuk Perkara 150(7), prinsip ini tidak terpakai untuk perkara yang termasuk dalam kategori ‘telah dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan sebelum habis tempoh itu’. Dalam Ordinan Darurat, Seksyen 13 yang berkaitan dengan PRN, menyebut bahawa penangguhan PRN hanya berlaku ‘bagi tempoh Darurat berkuatkuasa’. Jadi bila Darurat sudah tamat, maka penangguhan tidak lagi wujud. Maka tak perlu tunggu enam bulan dalam hal ini.

PROF MADYA DR. MUHAMMAD FATHI YUSOF
Pensyarah dan penyelidik di Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur – HARAKAHDAILY 6/10/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1139212551/posts/10219444016907970/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -