Skeptikal ‘Melayu malas’ dan kenyataan berbaur perkauman

- Advertisement -

PENULISAN ini bukanlah bertujuan untuk menyucikan kenyataan keterlaluan malah menjengkelkan yang dilemparkan kepada wirawati sukan negara, S. Kisona yang telah berjuang sambil memperjudikan nyawa di kala wabak COVID-19 menggila, cuba mengharumkan nama negara di luar seperti lain-lain ahli sukan Malaysia yang dapat kita lihat lewat temasya Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang lepas. Sememangnya dalam sukan menang atau kalah adalah relatif, apa yang penting ialah komitmen, semangat juang dan kesukanan tinggi yang telah dipamerkan. Ianya layak dipuji dan dihargai semua.

Malah tulisan ini bersetuju dengan seruan yang dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan, Menteri Perpaduan Negara, BAM (Persatuan Badminton Malaysia), SAM (Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia) dan ramai lagi bahawa kenyataan berbaur perkauman dalam bentuk apa sekalipun sememangnya tiada tempat di Malaysia. Ia seharusnya tidak dibiarkan saja apatah lagi apabila datang daripada tokoh politikus yang mendambakan dirinya kelak diangkat menjadi pemimpin masyarakat. 

- Advertisement -

Bayangkan jika kumpulan atau tokoh-tokoh perkauman ini diberikan tempat dan dibiarkan subur membumi, masyarakat Malaysia bentuk apakah kelak yang bakal kita lahirkan?! Tentunya kita gembira kini apabila warna kulit dan keturunan seseorang seharusnya tidak dikaitkan dengan kebolehan atau kegagalan seseorang atlet itu bersukan. Kita lega akhirnya kenyataan seperti menyalahkan kegagalan pasukan Bola Sepak Kebangsaan untuk beraksi cemerlang akhirnya tidak boleh disabitkan kepada Melayu lagi. Sesungguhnya kegagalan mereka beraksi di Piala Suzuki atau dikalahkan 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu contohnya tiada kena-mengena dengan warna kulit atau keturunan mereka. 

Seperti juga S. Kisona, prestasi buruk tersebut tidak seharusnya dipersalahkan kepada ‘terlalu Melayu atau terlalu ramai Melayu!’ Hakikatnya juga sememangnya kita tumpang gembira apabila pasukan Bola Sepak Kebangsaan kelihatan sangat ‘international’ dewasa ini.

Maka selayaknya juga kita belajar untuk mula mengutuk pelecehan berbaur perkauman seperti ‘Melayu malas’, ‘mentaliti subsidi’, ‘mentaliti tongkat’, ‘spoon fed’ dan sebagainya yang acap kali bergema? Kenyataan ‘Melayu malas’ malah pernah juga diucapkan oleh seorang tokoh besar tanah air sendiri dan malangnya ianya dilihat dan diambil ringan. 

Apa mungkinkah kenyataan ‘India malas’ akan lebih berbekas di negara ini?! Mungkinkah juga pejuang hak asasi akan bingkas bangun dan mula berbuat laporan polis serta kenyataan akhbar sekiranya pelecehan berbaur perkauman tersebut dilemparkan kepada rakan India kita? 

Hakikatnya subsidi dan tongkat hanya dinikmati sekumpulan elitis yang ‘dekat’ dengan tokoh-tokoh elit ‘berkuasa’, dan lazimnya datang dari kelas yang sama atau hampir serupa juga. Dan lazimnya terdiri daripada berbilang bangsa keturunan. Terkini Pandora Papers rasanya jelas dalam membuktikan akan hal tersebut?! Lalu kenapakah pula puluhan juta Melayu lain, yang tidak mendapat laba tersebut dan yang rata-ratanya tercorot dalam aktiviti perekonomian negara pula yang dituduh, dicemuh dan dipersalahkan?

Di manakah kumpulan dan tokoh-tokoh pejuang hak asasi yang bercambah bagai ‘cendawan selepas hujan’ lewat isu melanda S. Kisona? Adilkah jika benci sesuatu parti politik itu membuatkan kita memukul rata demografi yang terkait dengan parti tersebut? Bagaimana pula dengan kenyataan Cina perasuah? Adakah ini adil dan tidak berbaur perkauman?

Bagaimana pula kenyataan Melayu sakai, hidup atas pokok, dalam hutan dan dalam gua? Atau kenyataan seperti ‘kalau tidak disebabkan oleh Cina, Malaysia tidak akan maju?’ Atau kenyataan bahawa Undang-undang Hudud atau Syariah bersifat kuno, terkebelakang, zaman batu? Tidakkah juga pernyataan ini menghina dan berbaur perkauman? Bagaimana pula dengan pandangan bahawa penyatuan dua blok politik besar Orang Melayu atau Islam sebagai ‘Taliban’? Apa kena mengena warna kulit dan keturunan Melayu dengan Taliban? 

Atau adakah Islam merupakan pemboleh ubah tersebut? Tidakkah menghina agama anutan majoriti Melayu di Malaysia juga rasis dan melampau? Tidakkah ini juga berbaur perkauman dan harus dikecam kerana di Malaysia khasnya identiti Melayu itu sangat terkait dengan Islam? Malah undang-undang tertinggi negara juga mengabsahkannya? Bagaimana pula kita melihat kenyataan seperti berikut ‘It is Muslims who are indulging in killing and condemnation of other religions and religionist’? Persoalannya cukupkah kecaman dan tindakan diambil kepada tokoh yang berbuat kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut? Cukupkah laporan polis yang dibuat?

Membaca buku East of Siam, Ramblings in the five divisions of Indo-China karya Harry A. Franck bakal memperkenalkan kita kepada amalan tradisi orang Annam yang gemar menghitamkan gigi. Ianya merupakan amalan ‘kecantikan’ yang diamalkan wanita-wanita Annam. Penulis juga membandingkan amalan sedemikian dengan amalan wanita-wanita Cina yang gemar mengikat kaki untuk mengecilkan kaki yang juga merupakan amalan tradisi mereka. Harry A. Franck tentunya mempunyai pandangan yang agak berbeza dan tidak boleh menerima tradisi dan budaya turun-temurun tersebut yang tentunya asing baginya.

Begitu juga dengan orang Melayu yang sejak ribuan tahun mempunyai amalan tradisi dan budaya yang tentunya unik kepada orang Melayu sendiri dan tentunya juga mereka-mereka yang bukan berasal daripada Alam Melayu akan gagal menghargai hal tersebut. 

Oleh itu tentunya tidak keterlaluan jika kita menegaskan bahawa pelecehan ‘pemikiran feudal’ harus juga dihentikan kerana ianya berbaur perkauman kerana menghina amalan tradisi dan budaya orang Melayu, dan ianya harus dihormati semua, suka atau tidak?!

HARIZAL HASSAN
Mantan Eksekutif Kanan Pusat Kajian Media Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) merangkap penulis buku esei ‘Otak Melayu Aku: Ketuanan Han, Kafir Harbi & ‘Anugerah Tuhan’’

Bacaan lanjut:

1. https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/10/03/azumu-slams-fb-user-for-comment-against-kisona

2.  https://www.thestar.com.my/news/nation/2021/10/05/racial-slurs-against-national-badminton-player-s-kisona-are-unacceptable-says-halimah

3.  https://www.hmetro.com.my/arena/badminton/2021/10/762152/bam-pertahan-kisona-kecam-tindakan-bersifat-perkauman

4.  https://www.facebook.com/Persatuan-Penulis-Penulis-Sukan-Malaysia-SAM-Established-1969-116349408442065/

5.  https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2021/10/03/bersatu-man-quits-after-racial-slur-against-kisona/

6.  https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2019/10/615332/dr-m-pertahan-ucapan-melayu-malas

7.  https://www.malaysiakini.com/news/529939

8.  https://www.malaysiakini.com/news/593928

9.  https://www.malaysiakini.com/news/468502

10.  https://www.sinarharian.com.my/article/17169/BERITA/Nasional/Kenyataan-Guan-Eng-Kor-Ming-ancam-perpaduan-negara

11.  https://www.malaysiakini.com/news/262070

12.  https://blog.limkitsiang.com/2010/08/05/the-malays-in-singapore-no-crutch-mentality/

13.  https://www.malaysia-today.net/2015/02/09/1-million-translated-copies-of-the-quran-to-be-distributed-to-non-muslims-a-cause-for-concern/ – HARAKAHDAILY 6/10/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -