Sebarkan kasih sayang, hormati sesama insan

Isu komen berbaur perkauman ke atas atlet badminton perseorangan wanita negara

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T dalam surah al-Hujurat ayat 13:

- Advertisement -

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ

 “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan…”

Allah S.W.T mengingatkan kita bahawasanya kejadian manusia yang berbeza bangsa dan warna kulit adalah untuk saling berkenal-kenalan bukanlah perbezaan ini untuk kita saling menghina antara satu sama lain. Malaysia adalah antara negara yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik, ini adalah satu nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Oleh itu, keharmonian hendaklah sentiasa dijaga dengan baik.

Sifat segelintir masyarakat kita yang mengeji dan menghamburkan apa sahaja yang mahu dikatakan tanpa berhati-hati adalah sifat yang tidak beradab. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah S.A.W dalam sabda-Nya:

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

(Riwayat Ahmad (7215))

Malaysia lahir dengan kerencaman bangsa yang multi-etnik sepatutnya menjadikan kita masyarakat matang dan berjiwa besar. Sifat rasis yang membabi buta adalah sifat yang keji di sisi agama Islam. Sifat ini boleh membawa kepada meruntuhkan asas-asas perpaduan yang telah dibina selama ini dan tidak selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Islam merupakan agama yang sentiasa menekankan manusia agar berakhlak mulia. Bukan sahaja kepada sesama Muslim tetapi jua dengan bukan-Muslim. Bahkan, Islam juga menekankan etika berakhlak baik dengan haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Islam merupakan agama yang menitikberatkan ketertiban dalam menjalani kehidupan seharian.

Sikap menghina, mencaci, mengutuk sesama manusia adalah amat bertentangan dengan akhlak Islam. Perbuatan seperti itu, bukanlah cara yang baik untuk meluahkan pandangan tetapi hanya mengundang pergaduhan.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua masyarakat agar kita terus memelihara keharmonian dan kebersamaan Keluarga Malaysia. S. Kisona adalah atlet yang berjuang untuk mengharumkan nama negara kita, komentar yang menghina beliau adalah tidak sepatutnya berlaku. Hendaklah kita sedar bahawa perbezaan kaum, warna kulit, bangsa, agama mahupun politik kita adalah tetap sesama manusia yang mempunyai perasaan apabila dihina dan inilah yang perlu kita hindari dari terus menjadi budaya kebiasaan. Landasan utama dari hujah  atas haramnya memanggil sesama manusia dengan panggilan yang dia benci, firman Allah S.W.T dalam Surah Al Hujarat ayat 11:

وَلَا تَنَابَزُوۡا بِالۡاَلۡقَابِ‌ؕ

“Jangan kamu panggil-memanggil dengan gelar yang buruk.”

YB USTAZ ZURIDAN MOHD DAUD
Ahli Dewan Negeri Kawasan Damak
Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -