Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang melaksanakan Projek Pendigitalan Sumber dan Operasi Perhutanan untuk membantu menyelesaikan masalah melibatkan perancangan, pengurusan dan pemantauan hutan serta hasilnya.
Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata projek yang dijangka siap pada akhir tahun 2024, akan menggantikan sistem kerja manual kepada penggunaan teknologi Internet of things (IoT) dan digital.
Selain itu, katanya sistem kerja baharu itu menjadikan data lebih tersusun, mudah dicapai, mengurangkan kelalaian manusia dan ketirisan dalam proses kutipan hasil kayu bulat yang sering berlaku di lapangan.
“Di bawah projek ini, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan mengukuhkan pelbagai sistem aplikasi seperti teras perhutanan, sokongan, geospatial, telefon pintar dan laman sesawang sedia ada.
“Melalui projek ini, pengurusan hutan secara berkekalan akan diperkasakan dengan menjadikan ICT serta teknologi geospatial sebagai pemangkin ke arah transformasi maklumat yang komprehensif dan berkualiti,” katanya ketika menggulung Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, kata Takiyuddin berkata, KeTSA melaksanakan pensijilan Pengurusan Hutan Kriteria dan Indikator Malaysia (MC&I) bagi negeri yang terlibat dengan aktiviti pengeluaran hasil kayu balak.
Katanya, sijil berkenaan adalah kayu ukur pelaksanaan prinsip Pengurusan Hutan Lestari (SFM) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Kementerian juga melaksanakan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan agensi kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan.
“Kita juga melaksanakan Pemantauan Pengawasan Berterusan (COMOS), sistem yang dibangunkan oleh Jabatan Hutan Sarawak,” katanya.
Menurut Takiyuddin, COMOS berupaya menggabungkan analisis imej satelit setiap minggu, dan mengesahkan titik kordinat di lapangan menggunakan pesawat khas yang dilengkapi kamera, seterusnya maklumat disalurkan kepada pasukan di lapangan untuk tindakan penguatkuasaan.
Di Sabah pula, katanya semua pemegang lesen jangka panjang dan lesen pembalakan diwajibkan untuk diaudit oleh juruaudit bebas pihak ketiga sejak 2010.
Katanya, semua pemegang lesen perlu mematuhi kriteria pengauditan ketat persijilan Sabah Timber Legality Assurance System (TLAS) untuk memastikan operasi mereka sah dan sumber balak adalah dari sumber yang sah. – HARAKAHDAILY 6/10/2021