Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Kes positif jangkitan Covid-19 di Langkawi baru-baru ini hanya melibatkan pekerja sebuah hotel terkemuka dan bukan dalam kalangan pelancong, tidak akan menjejaskan gelembung pelancongan di pulau tersebut.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penularan itu berpunca dari kediaman pekerja hotel terbabit dan bukan kes import (pelancong).
“Kes itu tidak menjejaskan Langkawi kerana kita telah mengambil langkah yang perlu untuk menjaga gelembung pelancongan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, 59 kakitangan hotel yang disahkan positif Covid-19 itu berpunca daripada Kluster Dah Teluk Nibung dan kes berkenaan dikategorikan sebagai kluster tempat kerja.
“Sehingga hari ini, kluster berkenaan membabitkan pekerja tempatan dan kontak rapat ahli keluarga.
“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki daripada komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja,” ujarnya semalam.
Sehubungan itu, pihak pengurusan hotel terbabit bersetuju menutup operasi secara sukarela.
Bagaimanapun katanya, setakat ini penularan jangkitan itu terkawal dan semua kontak rapat sudah dikenal pasti, serta sedang menjalani ujian saringan Covid-19 di samping sudah diarahkan menjalani Perintah Pemantauan Rumah (HSO) selama 10 hari.
Seramai 249 individu disaring dengan 59 orang didapati positif, manakala 192 individu lagi negatif dan tiga lagi masih menunggu keputusan. – HARAKAHDAILY 6/10/2021