Kerajaan sentiasa pantau stok beras melebihi paras keperluan

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan kedudukan stok beras sentiasa melebihi purata paras keperluan kira-kira 200,000 tan metrik sebulan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh.

Beliau berkata, kedudukan stok beras dalam negara di peringkat kilang, borong dan runcit sentiasa pada kadar konsisten setiap masa dengan purata 400,000 hingga 500,000 tan metrik yang mampu bertahan selama dua setengah hingga tiga bulan.   

- Advertisement -

“MAFI sentiasa memantau kedudukan stok ini secara dekat dan membuat tinjauan pengambilan stok (stock-taking survey) secara berkala pada setiap bulan bagi memastikan kedudukan stok dan bekalan dalam negara sentiasa stabil. 

“Terdapat juga stok padi yang sedia diproses menjadi beras di kilang-kilang dengan purata 100,000 hingga 200,000 tan metrik setiap bulan iaitu mengambil kira pengeluaran padi negara yang sentiasa berterusan melalui kawasan jelapang dan luar jelapang negara. 

“Bagi menampung baki keperluan yang tidak dapat ditampung oleh pengeluaran beras tempatan pula, kerajaan mengimport sebanyak 80,000 tan metrik beras secara purata setiap bulan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Senator Ahmad Yahaya di Dewan Negara, hari ini. 

Namun demikian, kerajaan juga menyediakan simpanan stok bekalan beras yang sedia digunakan pada bila-bila masa sekiranya berlaku kecemasan dan sebarang insiden luar jangka yang kritikal kepada negara. 

Tambah beliau, keperluan terhadap pengimportan beras dari luar negara akan sentiasa ada selagi pengeluaran beras dalam negara belum mencapai tahap sara diri sepenuhnya sejajar populasi penduduk yang terus meningkat saban tahun. 

“Usaha akan terus dilakukan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap beras import, yang antara lainnya termasuklah merangka dan melaksana transformasi industri padi dan beras negara dalam tempoh jangka pendek, sederhana dan panjang. 

“Ini adalah bagi meningkatkan pengeluaran beras tempatan sehingga ke 75 peratus tahap sara diri (SSL) dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12). 

“Untuk tujuan itu, MAFI memberikan fokus lebih agresif  terhadap program-program dan projek peningkatan produktiviti sawah,” ujar beliau. 

Menurutnya, antara program berkenaan adalah seperti projek Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB), pengurusan nutrien dan pembajaan secara lokasi spesifik (soil specific nutrient management). 

Program seterusnya, kata beliau adalah untuk menambahbaik sistem pengedaran benih padi sah, dan membawa masuk penyertaan syarikat-syarikat tertentu yang berkeupayaan dan bermodaliti besar ke dalam industri. 

Justeru, beliau berharap dengan usaha yang dilaksanakan, pengeluaran padi dan seterusnya beras negara dapat ditingkatkan secara signifikan dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang, dan seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada beras import. – HARAKAHDAILY 6/10/2021

- Advertisement -