Insiden tembakan di TUDM Kota Samarahan dalam siasatan polis

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Insiden tembakan di Pondok Pengawal Skuadron 330 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kota Samarahan masih dalam siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hashim berkata, siasatan itu bagi mengenalpasti jika wujud sebarang elemen jenayah dan untuk mengesahkan punca sebenar insiden.

Advertisement

Katanya, siasatan oleh TUDM juga turut dibuat dari aspek pentadbiran, prosedur operasi standard (SOP), isu  kebajikan dan sebagainya.

“Pada 13 Ogos 2021, Panglima Tentera Udara sendiri telah bertemu ahli keluarga anggota TUDM yang meninggal dunia di Pangkalan Udara Kuching, Sarawak dan menyampaikan sumbangan awal kematian melibatkan Belanja Pengkebumian, Sumbangan Kematian dari Tabung Kebajikan TUDM serta Sumbangan Derma Tanggungan dari Tabung Kebajikan Angkatan Tentera.

“Selain itu, Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Anggota, Jabatan Arah Rekod dan Pencen telah selesai memproses dokumentasi Pencen Terbitan, Ganjaran Terbitan dan Faedah Gantian Cuti Rehat melibatkan Orang Tanggungan keempat-empat anggota TUDM berkenaan,” katanya menjawab soalan  Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan), di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Ikmal, pembayaran kepada semua Orang Tanggungan anggota TUDM itu juga telah dilaksanakan oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) pada penghujung bulan lalu.

Bagaimanapun katanya, pembayaran Pencen Orang Tanggungan dan Ex-Gratia Orang Tanggungan tertakluk kepada keputusan Lembaga Penentuan Sebab oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan dan laporan akhir siasatan PDRM.

“Skuadron 330 Kota Samarahan juga sedang bekerjasama dengan Koperasi Tentera dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera mengenai semakan kelayakan pembayaran kepada ahli keluarga melibatkan caruman dan simpanan yang dibuat oleh semua anggota TUDM itu sepanjang perkhidmatan mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2021