Calvin Thoo reka pakaian buat Allahyarham Ismail Kamus sekeluarga

Oleh KAIROL ZULHAIDI

KUALA LUMPUR: Ramai yang tidak tahu pereka fesyen tanah air bertaraf antarabangsa, Calvin Thoo pernah membuat rekaan pakaian buat Allahyarham Ustaz  Dato’ Ismail Kamus dan keluarga disebabkan hubungan rapat antara mereka.

Calvin, 49, berkata, dia mengenali Allahyarham dan keluarga sebelum memeluk Islam lagi dan Allahyarham merupakan antara individu yang telah menyaksikan beliau mengucap dua kalimah Syahadah ketika memeluk agama Islam, pada  kira-kira lapan tahun lalu. 

Advertisement

“Sebelum saya memeluk agama Islam lagi, saya sudah kerap bertemu dengan Allahyarham Ustaz Dato’ Ismail Kamus dan saya pernah design pakaian untuk Allahyarham dan keluarga seperti baju raya dan busana pengantin untuk keluarga arwah.

“Allahyarham tidak pernah memaksa saya tetapi menitipkan sedikit demi sedikit tentang ilmu agama Islam. Allahyarham juga telah banyak mengajar saya tentang Islam dan akan menjawab secara berhikmah apa sahaja persoalan yang saya utarakan,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Di samping itu, kata Calvin, beliau pernah membuat rekaan pakaian untuk Kerabat Diraja Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perlis, sementara untuk pasaran antarabangsa dia pernah menyertai pertunjukan fesyen di luar negara seperti di Paris, Brunei, Australia, China, Thailand dan Indonesia. 

Calvin mempunyai pandangan tersendiri apabila menyentuh tentang isu politik.

“Saya turut mempunyai pelanggan dari benua Afrika, Kerabat Diraja Arab Saudi serta Kerabat Diraja Eropah. Malah, ada Kerabat Diraja Eropah akan datang setiap tahun berjumpa saya  untuk menggunakan khidmat rekaan saya. Cuma dua tahun kebelakangan ini dia tidak hadir ke Malaysia disebabkan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Menurut Calvin, setiap pereka fesyen mempunyai cara dan prinsip masing-masing. Bagi beliau, perkara paling penting dalam rekaan pakaian untuk seseorang adalah berdasarkan personaliti  individu berkenaan. 

“Saya turut mempunyai banyak koleksi Muslim yang telah saya reka untuk ramai selebriti terkenal tanah air seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Rozita Che Wan, selain ibu kepada Chef Wan,” katanya.

Terdahulu, Calvin Thoo telah memeluk agama Islam pada 20 Mei, 2013 dan mengucap syahadah dengan disaksikan Allahyarham Ustaz Dato’ Ismail Kamus, Dato’ Dr Asri Zainal Abidin dan Ustaz Sallehan Mukhyi (yang ketika itu merupakan ADUN Sabak). -HARAKAHDAILY 6/10/2021