Sistem e-Tanah: Kerajaan Pusat tidak pinggirkan Pulau Pinang

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Sri Takiyuddin Hassan, menolak dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, bahawa Pulau Pinang tidak disenaraikan dalam pembaharuan sistem e-Tanah.

Katanya, kementerian telah mengambil tindakan segera sejurus menerima permohonan kerajaan Pulau Pinang pada Februari lalu, untuk melaksanakan sistem pentadbiran tanah berdasarkan kerjasama awam-swasta (PPP).

- Advertisement -

Malah, katanya Pulau Pinang adalah antara tiga negeri perintis menggunakan sistem e-Tanah yang dibangunkan sejak tahun 2005.

“Projek rintis ini dilaksanakan di Melaka dan Negeri Sembilan pada tahun 2005. “Pada tahun 2009, sistem ini telah digunakan dan Pulau Pinang antara negeri yang terawal,” katanya menjawab soalan lisan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kon Yeow meminta kerajaan menyatakan sebab Pulau Pinang tidak disenaraikan berhubung pembaharuan sistem e-Tanah selaras dengan inisiatif MyDigital.

Takiyuddin berkata, pada tahun 2014, Kabinet ketika itu bersetuju melaksanakan sistem itu secara berfasa menggunakan kaedah PPP dengan projek rintis di Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur.

“Jika projek rintis di Kuala Lumpur berjaya dilaksanakan, projek itu akan diperluaskan ke seluruh negara seperti Perak, Putrajaya, Labuan, Terengganu, Selangor, Pahang, Johor, Kelantan, Kedah dan Perlis,” katanya.

Bagaimanapun katanya, sistem e-Tanah yang dilaksanakan secara PPP merangkumi kos pembangunan dan penyelenggaraan di Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan, membabitkan perbelanjaan pembangunan (DE) bagi kos pembangunan sistem sahaja.

Oleh itu, katanya Kerajaan Persekutuan telah memohon peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan dari semasa ke semasa bagi memastikan sistem tersebut dapat digunakan secara efektif oleh pentadbiran tanah.

“Bagi Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan yang tidak tersenarai di dalam pelaksanaan e-Tanah mengikut PPP pada peringkat projek pada tahun 2012, saya hendak maklumkan ketiga-tiga negeri ini telah pun dibangunkan sistem e-Tanah yang lebih awal menggunakan DE di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/21

- Advertisement -