MADA bersiap hadapi peralihan monsun

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Fasa peralihan monsun bermula 24 September lepas sehingga awal November ini menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang berlaku sejak 19 Mei lalu.

Peralihan monson itu tentunya akan memberi kesan kepada golongan petani termasuk juga di Dun Guar Sanji.

Adun Guar Sanji Mohd Ridzuan Hashim berkata, bagi menghadapi peralihan monsun tersebut pihaknya mengadakan perbincangan khas dengan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kamaruddin Dahuli.

Advertisement

Katanya pertemuan itu membincangkan isu banjir yang sering berlaku di Dun berkenaan.

“Memandangkan fasa peralihan monsun telah tiba, rata-rata penduduk khasnya petani mulai bimbang akan kemungkinan berlakunya kejadian banjir.

“Alhamdulillah, daripada kertas cadangan yang dikemukakan pihak MADA menyatakan persetujuan untuk mengambil beberapa tindakan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Antaranya meninggikan lagi tebing sungai yang terlibat serta membina ‘flap gate’ ke Sungai Jalan Perlis,” katanya ketika dihubungi.

Menurut beliau juga masalah banjir yang sering berlaku perlu ditangani segera memandangkan ia menjejaskan sebahagian besar penduduk di kawasan berkenaan.

Mohd Ridzuan juga berkata, pada pertemuan berkenaan turut dibincang isu penyelenggaraan infrastruktur pertanian di kawasan pengairan MADA yang dianggap menjadi punca berlaku banjir.

Baru-baru ini berlaku kejadian padi rebah membabitkan hampir 500 hektar sawah kesan daripada peralihan musim. – HARAKAHDAILY 5/10/2021