Buka lebih banyak premis solat fardu dan Jumaat

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) memperbanyak pembukaan surau untuk solat Jumaat.

Selain itu, premis lain seperti surau atau bilik solat di pusat beli-belah, stesen minyak, taman rekreasi dan tempat lain dicadangkan dibuka untuk solat fardu.

- Advertisement -

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Haji Idris Haji Ahmad, berkata kerajaan juga telah meminda Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada berkaitan kapasiti jumlah jemaah solat fardu dan Jumaat.

Katanya, kerajaan mencadangkan bilangan jemaah solat fardu dan Jumaat ketika Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) diperluaskan mengikut kapasiti masjid dan surau.

“Bagaimanapun, pertambahan jumlah jemaah perlu mematuhi SOP terkini yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi Fasa 1 hingga 4 tertakluk kepada PBAN,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta Senator Ahmad Yahya menyatakan garis panduan baharu yang diperkenalkan bagi membolehkan jumlah kehadiran jemaah solat Jumaat ditambah mengikut keluasan masjid.

Bagaimana, katanya semua pihak perlu bekerjasama dengan mematuhi SOP supaya penularan Covid-19 dapat dihindarkan dalam kalangan komuniti masjid. – HARAKAHDAILY 5/10/21

- Advertisement -