99 PBT sertai inisiatif bandar rendah karbon

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM23.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan inisiatif bandar rendah karbon di seluruh negara melibatkan 99 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diluluskan di bawah Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata kementeriannya telah membangunkan Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara (NLCCM) bagi memacu transformasi ke arah bandar rendah karbon dengan Seremban adalah antara bandar sasaran di bawah pelan itu.

- Advertisement -

Beliau turut mengalu-alukan perhatian dan kerjasama pihak pembangkang dalam mengarusperdanakan agenda perubahan iklim di Malaysia menerusi aspirasi negara bagi mencapai pelepasan sifar gas rumah kaca seawal-awalnya menjelang tahun 2050.

Menyentuh berkaitan isu bekalan air serta perkhidmatan pembetungan di Sabah dan Sarawak, Tuan Ibrahim menyarankan kedua-dua negeri mempertimbang untuk mengguna pakai kerangka pengurusan dan tadbir urus bekalan air yang sama dalam menyusun semula sektor berkenaan.

Beliau berkata, ini kerana kedua-dua negeri sering mengalami masalah bekalan air berpanjangan akibat infrastruktur yang telah lama dan penggunaan seterusnya memberi kesan kepada pengguna.

Dalam perkembangan sama, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM429 juta bagi menyelesaikan isu bekalan air di daerah Kota Kinabalu dengan menaik taraf Loji Rawatan Air Telibong II dari 80 juta liter sehari (JLH) kepada 160 JLH termasuk saluran paip utama dan tangki simpanan.

“Projek ini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Mac 2022,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, bagi daerah Lahad Datu, sebanyak RM270 juta diperuntukkan bagi membina loji rawatan air berkapasiti 60 JLH dan projek dijangka siap pada Jun 2023.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata jika Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) meluluskan permohonan yang dikemukakan pihaknya bagi Projek Pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip di Tunjong, Kelantan, projek dijangka bemula pada suku ketiga tahun 2022 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026.

Katanya, pihaknya telah mengemukakan permohonan di bawah Rolling Plan 2 (RP2) tahun 2022 RMK12 bagi pelaksanaan projek berkenaan yang akan memanfaatkan 140,000 penduduk setara membabitkan rangkaian paip pembetungan sepanjang 40 kilometer.

Di samping itu, katanya Kerajaan Persekutuan memberi tumpuan utama dalam memperbaiki mutu bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak melalui penyaluran peruntukan yang besar, iaitu masing-masing sebanyak RM7.7 bilion dan RM5.6 bilion.

“Peruntukan yang disediakan bagi kedua-dua negeri merupakan peruntukan tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini tidak termasuk peruntukan geran bagi program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/10/21

- Advertisement -