223,990 panggilan perlu sokongan emosi, kaunseling

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkenalkan Talian Bantuan Sokongan Sosial peringkat kebangsaan, negeri dan daerah untuk memberi bantuan sokongan emosi kepada rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali, berkata talian itu diwujudkan dengan kerjasama MERCY Malaysia bagi memberi sokongan emosi kepada mereka yang memerlukan bantuan.

- Advertisement -

Selain itu, katanya terdapat talian bantuan agensi lain seperti Talian Kasih (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) serta Talian Keluarga, Sosial dan Komuniti (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia).

“Sejak diperkenalkan, sebanyak 223,990 panggilan diterima dengan 80.8 peratus pemanggil memerlukan sokongan emosi dan kaunseling berkaitan pelbagai isu.

“Ini termasuk hilang pekerjaan, tiada sumber pendapatan, konflik keluarga, masalah hubungan interpersonal, stigma terhadap jangkitan, isolasi serta kurang akses kepada perkhidmatan bantuan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr Wan Martina Wan Yusoff yang meminta kerajaan menyatakan tindakan bagi menangani isu kesihatan mental rakyat yang berdepan pandemik Covid-19 di Dewan Negara, hari ini.

Dr Noor Azmi berkata, mengambil kira kesan pandemik terhadap kesihatan mental dalam kalangan masyarakat, KKM turut melaksanakan penambahbaikan melalui inisiatif menambah pegawai psikologi kaunseling, Oktober tahun lalu.

“Penambahan 200 pegawai psikologi kaunseling secara kontrak dan ditempatkan di peringkat daerah dan klinik kesihatan bagi memberikan perkhidmatan kesihatan mental dan sokongan psikososial di 1,191 klinik kesihatan seluruh negara,” katanya.

Katanya, kementerian turut memperkukuhkan program promosi dan pencegahan kesihatan mental di peringkat primer, termasuk perkhidmatan saringan, intervensi dan rawatan kesihatan mental bagi meningkatkan pengesanan awal individu yang mengalami masalah tersebut.

Menurutnya juga KKM turut mengadakan sesi libat urus bagi menangani isu kesihatan mental secara bersepadu yang dilaksanakan bersama pelbagai kementerian dan agensi. – HARAKAHDAILY 5/10/2021