Ketabahan mereka menyentuh hati saya – Siti Zailah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Selepas menjawab soalan di Dewan Negara, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff menziarahi 10 orang anak yatim yang kehilangan ibu mereka akibat wabak Covid-19.

“Ketabahan mereka menyentuh hati saya,” ujarnya menerusi laman Facebook, malam ini.

Katanya, selain bakul makanan dan tabung bantuan segera RM300, beliau memaklumkan kepada mereka bahawa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telahpun meluluskan bantuan bulanan sebanyak RM1,000.

- Advertisement -

Menurutnya, Lembaga Zakat Selangor juga telah meluluskan bantuan sewa rumah setiap bulan dan juga bantuan bulanan sebanyak RM800 bagi meringankan beban mereka.

Katanya, mereka adalah anak-anak yang baik dan berakhlak mulia.

Tambahnya lagi, tiga orang daripada mereka mengikuti pengajian tahfiz dan salah seorang telah berjaya menghafaz 30 juz Al Quran.

“Hati saya tersentuh melihat semangat dan ketabahan hati kakak sulung mereka yang terus cekal menjaga adik-adiknya. Dia mewarisi ketabahan dan kekuatan hati Ibunya,” ujarnya.

Beliau berkata, kakak sulung itu juga turut meneruskan berniaga secara online seperti arwah ibunya mencari rezeki.

Siti Zailah menyeru agar membantu mereka di Facebook @Aunillah Kutu Online Shop dan https://t.me/aunillahdeco.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mengucapkan terima kasih kepada Pegawai Kebajikan PKMD Hulu Langat, Pengerusi Badan Pengurusan (JMB), Pegawai Kebajikan Pejabat ADUN Lembah Jaya dan pimpinan masyarakat.

“Terima kasih juga kepada jiran-jiran yang baik hati serta semua pihak termasuk NGO yang membantu secara langsung dan tidak langsung membela nasib mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/10/2021

- Advertisement -