Calvin Thoo bakal lancar sejadah jenama sendiri

- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Pereka fesyen terkenal tanah air, Calvin Thoo mengumumkan bakal mengeluarkan sejadah jenamanya sendiri yang seratus peratus dihasilkan di Malaysia, di butik miliknya yang terletak di Jalan Imbi, Bukit Bintang di sini.

Menurut Calvin, 49, selepas terpaksa menghentikan operasi butiknya itu selama hampir dua tahun disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda negara ini, dia akhirnya mendapat idea untuk menghasilkan produk sejadah berkenaan.

- Advertisement -

“Bisnes di butik saya ini baru tiga minggu beroperasi semula kerana mengikut prosedur operasi standard (SOP), pandemik Covid-19 yang sangat memberi kesan kepada industri fesyen negara, kerana tiada sebarang acara atau pertunjukan fesyen yang dibenarkan berlangsung di negara ini sepanjang tempoh pandemik berkenaan.

“Namun alhamdulillah, disebabkan Lembah Klang sudah diwartakan berada dalam Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula 1 Oktober lalu, maka  secara beransur-ansur acara atau pertunjukan fesyen akan diadakan semula,” ujarnya ketika ditemui HarakahDaily di butiknya baru-baru ini.

Menurut Calvin, sepanjang pengetahuannya, kebanyakan sejadah yang dijual di Malaysia sama ada dihasilkan atau dibawa dari luar negeri seperti dari negara Arab dan China, tetapi sejadah yang dihasilkan di butiknya, seratus peratus buatan Malaysia yang dijahit dengan tangan.

“Produk sejadah saya ini dihasilkan tanpa menggunakan mesin tetapi hasil jahitan tangan. Saya mahu menampilkan sejadah yang mampu dimiliki semua orang agar mereka dapat menghargainya sebagai sesuatu yang bernilai.

“Kebaikannya apabila saya sudah bergelar mualaf sejak lapan tahun yang lalu ialah selepas saya mula belajar solat lima waktu, saya lebih memahami dan menghargai fungsi sejadah,” ujarnya.

Calvin Thoo menunjukkan sampel sejadah rekaannya di butik miliknya, di Jalan Imbi, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya lagi, sebelum memeluk agama Islam, beliau hanya melihat sejadah tidak lebih sebagai karpet biasa, tetapi apabila beliau sendiri berpeluang menunaikan solat, akhirnya beliau mengetahui apakah ciri-ciri sejadah yang terbaik untuk digunakan semasa solat.

“Kenapa saya mahu lancarkan produk sejadah jenama Calvin Thoo buat julung-julung kali ini? Sebab saya gunakan sejadah untuk solat. Jadi, saya kini tahu apa yang saya perlukan daripada sejadah semasa solat. 

“Bila sujud, kita pasti tak mahu wajah kita cedera, agar ia (sejadah) lembut menyentuh kulit muka kita. Tambahan saya ada mengalami sinus, jika solat atas karpet atau sejadah yang berdebu, saya pasti akan bersin dengan kuatnya,” jelasnya.

Justeru menurutnya, sejadah yang dihasilkannya yang dilengkapi ‘bantal’ kecil  itu bukan sahaja selesa semasa sujud untuk solat, saiz sejadah pula dihasilkan sesuai termasuk untuk individu yang tinggi lampai, lapisan bahagian bawah sejadah yang tidak licin, selain mementingkan ciri-ciri kesihatan dan mudah dibawa ke mana-mana.

“Sebelum menghasilkan sejadah berkenaan saya banyak membuat penyelidikan termasuk menemu bual beberapa rakan baik tentang apa yang mereka inginkan ada pada sejadah,” ujarnya yang menyasarkan bakal melancarkan sejadah jenama Calvin Thoo itu sebelum menjelang Ramadan tahun hadapan.

Menurutnya lagi, sejadah yang dihasilkannya adalah dalam dua range iaitu yang menggunakan fabrik kain kapas, sementara range satu lagi menggunakan fabrik sutera.

“Sejadah daripada range fabrik kain kapas akan dijual dari harga RM100 ke atas, manakala RM200 ke atas bagi range fabrik sutera, sementara bagi rangkaian super exclusive pula antara RM500 dan RM600 kerana ia dihasilkan menggunakan fabrik kain tenunan yang bermutu tinggi,” jelas Calvin yang turut menyasarkan sebahagian hasil jualan produk sejadahnya itu akan disedekahkan kepada badan-badan kebajikan.

Katanya lagi, sejadah tersebut juga akan dihasilkan menggunakan beberapa elemen corak tetapi perkara itu masih belum boleh didedahkan.

“Saya akan hasilkan sejadah jenama Calvin Thoo itu dalam dua hingga tiga corak tetapi ia masih di peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D), jadi perkara itu masih belum boleh saya uar-uarkan buat masa ini,” ujarnya.

Menyentuh mengenai koleksi pakaian Muslim rekaannya yang dihasilkan menggunakan fabrik kain kapas dalam tiga rekaan dan warna, Calvin mengumumkan buat pertama kalinya akan melancarkan pakaian ‘ready to wear’ untuk wanita.

Koleksi pakaian Muslim ‘ready to wear’ jenama Calvin Thoo untuk lelaki dan wanita bakal dilancarkan menjelang pertengahan Oktober ini.

Menurutnya, pakaian ‘ready to wear’ koleksi Muslim untuk wanita akan didatangkan bersama-sama pakaian ‘ready to wear’ untuk lelaki dan dijual antara RM162 hingga RM260 sehelai, dan ia juga boleh ditempah secara pre-order (tempahan).  

“Pakaian ‘ready to wear’ koleksi Muslim untuk wanita  saya mulakan  dengan menghasilkan blaus, dan insya-Allah jika meraih sambutan yang memberangsangkan, saya akan muncul dengan koleksi jubah pula. 

“Insya-Allah, koleksi pakaian ‘ready to wear’ Muslim jenama saya ini akan dilancarkan menjelang pertengahan bulan Oktober ini,” katanya. 

Kenangan ketika Calvin memeluk agama Islam pada tahun 2013.

Sebagai pereka fesyen terkemuka Malaysia bertaraf antarabangsa dari keturunan Cina, Calvin Thoo telah mengejutkan khalayak umum apabila memeluk agama Islam pada 20 Mei, 2013 dan mengucap syahadah dengan disaksikan (arwah) Ustaz Dato’ Ismail Kamus, Dato’ Dr Asri Zainal Abidin dan Ustaz Sallehan Mukhyi (yang ketika itu merupakan ADUN Sabak)  – HARAKAHDAILY 4/10/2021