AUKUS bakal mengancam keamanan Asia Pasifik, Laut China Selatan

- Advertisement -

PADA 15 September lalu, Amerika Syarikat mengumumkan kerjasama pertahanan terbaharu di Asia Pasifik yang digelar AUKUS, kerjasama pertahanan di antara 3 negara iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia yang bertujuan untuk mengekang penguasaan geopolitik China terutamanya di Asia Pasifik dan Laut China Selatan.

- Advertisement -

Berikutan pengumuman tersebut, ramai penganalisa pertahanan dan geopolitik dunia meramalkan bahawa AUKUS akan meledakkan lagi ketegangan antara Amerika Syarikat dan China yang sememangnya telah mencapai kemuncak berikutan isu Taiwan, Hong Kong dan Laut China Selatan yang telah menyebabkan hubungan kedua-dua negara menjadi semakin tegang.

Berikutan penubuhan AUKUS, Australia telah mencapai persetujuan untuk membeli kapal selam nuklear dari Amerika Syarikat sekaligus mencetuskan konflik di antara Australia dan Perancis kerana Australia telah membatalkan pembelian kapal selam daripada Perancis yang bernilai lebih $50 billion kerana telah mencapai persetujuan untuk membeli kapal selam nuklear Amerika Syarikat.

Konflik tersebut turut memburukkan hubungan antara Perancis dan Amerika Syarikat di mana Perancis telah mengecam tindakan Amerika Syarikat sebagai menikam rakan sekutunya dari belakang. Kesatuan Eropah juga turut mengecam tindakan Amerika Syarikat dengan menyatakan bahawa Amerika Syarikat tidak menghargai dan jujur dengan sekutu kuatnya.

Namun penubuhan AUKUS turut menjadikan kerjasama “Quad Nation“ sebagai tanda tanya, apakah “Quad Nation“ tidak mampu mencapai hasrat Amerika Syarikat dan sekutunya untuk menghalang China atau mungkin kerjasama “Quad Nation“ tidak menakutkan China berdasarkan tindakbalas China terhadap langkah-langkah negara-negara “Quad Nation“.

Yang pasti sejak daripada penubuhan AUKUS, nampaknya hasrat Amerika Syarikat dan sekutunya untuk mengoncang China membuahkan hasil. China mengecam penubuhan AUKUS dengan menyatakan ia akan mengancam keselamatan dan keamanan di rantau tersebut sambil menyatakan bahawa tindakan tersebut akan mengakibat perlumbaan persenjataan di rantau Asia Pasifik.

Sejak penubuhan AUKUS juga, telah wujud tanda-tanda bahawa implikasi yang berlaku ketika perang dingin atau “ Cold War “ yang berlaku antara Amerika Syarikat dan Soviet Union pada 1970an dahulu bakal terjadi di Asia Pasifik khususnya di Laut China Selatan dan berkemungkinan juga turut dirasai oleh negara-negara ASEAN.

Walaupun baru ditubuhkan, AUKUS dijangka memberikan impak yang besar samada dari sudut geopolitik, ekonomi dan hubungan sesama negara ASEAN dan juga negara-negara di Asia Pasifik. Yang pastinya, banyak implikasi buruk yang bakal berlaku sekiranya tiada tindakan yang komprehensif diambil terutamanya dari negara-negara ASEAN untuk mengekalkan keamanan serantau.

Penubuhan AUKUS dijangka bakal menghangatkan lagi pertembungan antara Amerika Syarikat dengan China di Asia Pasifik. Namun begitu, terdapat beberapa analisa berkemungkinan akan berlaku implikasi atau kesan-kesan buruk akibat daripada ketegangan yang bakal berlaku akibat penubuhan AUKUS.

Implikasi terbesar yang bakal berlaku ialah akan berlangsungnya perlumbaan senjata akibat daripada pembelian kapal selam nuklear daripada Amerika Syarikat oleh Australia. Sudah tentu dengan pembelian kapal selam nuklear tersebut, akan ada lagi di kalangan negara-negara samada dari ASEAN mahupun di Asia Pasifik akan turut memperkuatkan lagi sistem ketenteraan mereka.

Lebih membahayakan keadaan, perlumbaan senjata ini nanti bukan hanya berkisar kepada persenjataan konvensional tetapi juga senjata nuklear. Saat inilah negara-negara pengeluar senjata besar dunia seperti Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan beberapa negara lagi akan menawarkan pelbagai jenis sistem persenjataan kepada negara-negara ASEAN dan juga negara-negara Asia Pasifik.

Dengan keadaan mahupun situasi semasa yang semakin meruncing, sudah tentu negara-negara di sekitar Asia Pasifik akan berusaha untuk memperkuatkan lagi sistem pertahanan negara masing-masing. Ini sudah tentu membuatkan keadaan di rantau Asia Pasifik tidak stabil serta mencemaskan apatah lagi dengan kehadiran tentera-tentera asing di Laut China Selatan.

Lanjutan daripada itu, semestinya keadaan di Asia Pasifik terutamanya Laut China Selatan akan menjadi medan pertembungan yang membahayakan kepada negara-negara di sekitarnya. Keadaan ini sudah semestinya akan memberikan impak besar kepada keselamatan negara-negara serantau dan pertumbuhan ekonomi yang sememangnya telah terjejas terus akibat daripada penularan wabak pandemik Covid-19.

Pertumbuhan ekonomi negara-negara ASEAN bakal terjejas kerana majoriti daripada perdagangan samada serantau mahupun dunia banyak bergantung kepada Laut China Selatan.

Jika keadaan menjadi tegang dan Laut China Selatan menjadi medan pertembungan, pertumbuhan ekonomi negara-negara ASEAN bakal tepu mahupun tidak mampu pulih setelah dilanda Covid-19.

Namun yang paling mencabar dan membahayakan terutamanya buat negara-negara ASEAN adalah penubuhan AUKUS seolah-olah akan menuntut negara-negara ASEAN memihak samada kepada Amerika Syarikat mahupun China.

Walaupun buat masa ini tidak kelihatan lagi keadaan yang memaksa negara-negara ASEAN mahupun negara di Asia Pasifik berbuat demikian, keadaan mungkin memaksa untuk memihak apabila keadaan menjadi semakin tegang dan memuncak.

Semuanya berdasarkan apa yang berlaku di Asia Barat sebelum ini samada di Iraq, Libya dan Syria serta konflik-konflik yang berlaku di seluruh dunia. Di pihak mana sekalipun memihak nanti, collateral damage yang bakal berlaku akan mengakibatkan kerugian yang amat besar baik dari sudut ketamadunan manusia, sosio ekonomi, perdagangan dan kemakmuran negara serantau.

Negara-negara ASEAN wajar bertindak sebelum keadaan menjadi sukar dan tidak mampu ditangani. ASEAN seharusnya melihat kepada keadaan di Asia Barat sebagai contoh yang paling baik apabila berlakunya pertembungan sebegini.

Terlalu banyak collateral damage yang ditanggung oleh negara-negara Asia Barat akibat daripada pertembungan yang langsung tidak membawa faedah.

Adalah tidak wajar negara-negara ASEAN terutamanya Malaysia menanggung akibat besar daripada pertembungan ini dan pertembungan ini tidak sepatutnya berlaku di Asia Pasifik mahupun Laut China Selatan kerana yang bertembung adalah Amerika Syarikat dan China serta Amerika Syarikat mengheret pertembungannya dengan China ke Laut China Selatan.

Di samping mengheret pertembungan tersebut ke Asia Pasifik, Amerika Syarikat juga mengheret sekutunya sama dalam pertembungan ini dengan menghantar kapal-kapal perang, kapal pengangkut pesawat termasuk juga rondaan jet-jet pejuang serta pesawat pengintip yang mencetuskan ketidakstabilan kepada rantau Asia Tenggara.

Sewajarnya pertembungan tersebut baik dari sudut ketenteraan, trade dispute , diplomatik dan juga geopolitik diselesaikan di luar rangkuman Laut China Selatan dan halaman ASEAN. Pertembungan ini hanya akan membahayakan negara-negara ASEAN dan rantau ini serta wajar ditentang dan ditolak oleh negara – negara ASEAN.

Dari sudut sejarahnya, China telah lama menjalinkan hubungan dengan negara-negara ASEAN sejak dari awal kurun ke 10. Walaupun ketika itu China sememangnya kuasa besar di kalangan negara Asia, China sekalipun tidak pernah menjajah mana-mana negara di Asia. Sejak daripada dahulu lagi secara sejarahnya, China hanya berminat untuk mengembangkan kuasa ekonominya.

Tidak dinafikan, pemgembangan kuasa ekonomi akan dituruti dengan perkembangan kuasa geoplitik tetapi China sekalipun tidak pernah menjarah mahupun menjajah mana-mana negara di Asia. Malah hubungan baik tersebut berlanjutan sehingga ke hari ini walaupun adakalanya suram dan mendebarkan.

Berbeza dengan dunia barat secara amnya. Barat tidak hanya datang dengan pengembangan kuasa ekonomi, tetapi juga turut menjajah dan menjarah negara-negara yang mempunyai kepentingan strategik kepadanya samada hasil mahsul negara-negara tersebut mahupun jika negara tersebut mempunyai kepentingan strategik mahupun geopolitik.

Definasi penjajahan juga amat berbeza di antara dahulu dan sekarang. Dahulu penjajahan didefinasikan sebagai mengambilalih keseluruhan negara tersebut baik dari pentadbiran dan lain-lain lagi tetapi di zaman ini, definasi penjajahan agak berlainan walaupun maksudnya tetap sama.

Lihat apa yang berlaku di Iraq dan Afghanistan. Diserang dan kemudiannya dijajah atas nama pembebasan dan pembangunan. Pelbagai janji diutarakan atas nama kebebasan dan pembangunan tetapi setelah sekian lama dijajah, keadaan menjadi bertambah buruk malah hampir hancur segala infrastruktur dan ketamadunan manusia.

ASEAN tidak wajar dijajah samada secara langsung mahupun tidak langsung. ASEAN tidak wajar menjadi “pak turut“ dan perlu memikirkan kelangsungan rantau ini secara kolektif dalam usaha untuk mengelak agar ASEAN mahupun Laut China Selatan menjadi medan pertembungan kuasa-kuasa besar dunia dan sekutunya.

Keamanan perlu di kekalkan di ASEAN dan Laut China Selatan secara amnya. Laut China Selatan tidak wajar dijadikan medan pertembungan oleh mana-mana pihak sekalipun yang mempunyai kepentingan terutamanya dari sudut geopolitik dan untuk mengekalkan tampuk kekuasaannya.

Pendekatan yang diambil Menteri Pertahanan Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussien dalam menangani isu pertembungan di Laut China Selatan amat wajar disokong. Pendekatan ini dilihat tidak memihak kepada China mahupun Amerika Syarikat kerana adalah amat wajar Malaysia mengekalkan prinsip berkecuali dalam apa jua keadaan.

Pandangan dari China yang diambil oleh YB Menteri Pertahanan adalah demi untuk kepentingan serantau memandangkan Malaysia dan China mempunyai hubungan yang baik dan juga berkongsi kepentingan terutamanya Laut China Selatan walaupun mempunyai tuntutan bertindih terhadapnya.

Laut China Selatan wajar dikekalkan keamanannya. Segala bentuk pertembungan wajar dielak serta segala bentuk konfrantasi dan provokiasi wajar ditolak oleh mana-mana pihak sekalipun. ASEAN wajar mengekalkan pendirian tidak memihak dan menolak apa jua bentuk pertembungan.

Sampai masanya ASEAN menetapkan pendiriannya demi untuk mengekalkan keamanan di rantau ini terutamanaya di Laut China Selatan. Kita tidak mahu ASEAN menjadi mangsa keadaan dan medan pertembungan. ASEAN wajar berkecuali dan kekal bersama demi menangani isu yang semakin meruncing ini.

Jangan kita menjadi talibarut kepada kuasa besar dunia yang hanya mahu melihat keadaan menjadi kucar kacir dengan menyokong mereka. Kuasa-kuasa besar ini hanya mementingkan kuasa imperalisme mereka dan hanya menjadikan kita boneka demi untuk percaturan kuasa mereka.

Semoga Malaysia dan negara-negara ASEAN bersatu padu dan kekal teguh berpendiran dalam menangani keadaan yang getir ini. Usah kita terperangkap dengan segala janji dan umpan yang diberikan. Ambil iktibar apa yang berlaku di Asia Barat dan Asia Tengah. Sampai masanya ASEAN berpendiran teguh demi untuk keamanan dan kemakmuran bersama.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 2/10/2021

- Advertisement -