Piala Dunia dwitahunan beri impak besar industri bola sepak

KUALA LUMPUR: Cadangan pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwitahunan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mampu memberi impak besar buat industri bola sepak global, menurut Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin percaya pelaksanaan itu juga dapat meluaskan lagi peluang negara anggota layak ke pertandingan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

Advertisement

“Cadangan FIFA itu memberi kebaikan buat negara anggota dalam membuka peluang menjadi tuan rumah Piala Dunia selain dapat mengurangkan masa perjalanan pemain sekali gus mampu memastikan tempoh rehat mencukupi bagi pemain antara musim,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook FAM hari ini.

Hamidin berkata demikian selepas menghadiri Sidang Kemuncak ‘Future of Football’ secara maya bersama Presiden FIFA Gianni Infantino dan wakil dari lebih 211 negara anggota FIFA yang lain, malam tadi.

Beliau berkata pada dasarnya FIFA mengajak semua negara anggotanya membincangkan cadangan Piala Dunia secara dwitahunan serta reformasi terhadap Kalendar Perlawanan Antarabangsa selepas 2024 yang bakal memudahkan pemain senior atau remaja lelaki dan wanita dilepaskan kelab masing-masing untuk menyertai aksi antarabangsa dalam sidang berkenaan.

Sidang kemuncak itu diadakan sebagai sebahagian daripada proses FIFA mendapatkan maklum balas daripada semua pihak berkepentingan dalam usaha membawa dimensi baharu ke dalam penjadualan bola sepak antarabangsa serta mewujudkan keseragaman untuk bola sepak lelaki dan wanita serta remaja.

Dalam persidangan itu, Ketua Pembangunan Bola Sepak Global FIFA Arsene Wenger dan Penasihat Khas Pembangunan Bola Sepak Wanita Jill Ellis, membentangkan cadangan dan analisis kajian masing-masing, termasuk pembentangan dua cadangan pertandingan belia FIFA, dengan pendekatan standard untuk kejohanan lelaki dan perempuan merangkumi pertandingan B-17, B-16 dan B-18 diadakan secara tahunan.

Sidang kemuncak selama empat jam berkenaan turut menyediakan konsep pertandingan bola sepak wanita global dan cadangan pelaksanaan pertandingan belia yang menerima sokongan FAM.

“Sidang kemuncak ini memberi kami pemahaman yang lebih baik, telus dan tepat mengenai pendekatan FIFA – Future of Football terutama dalam pelaksanaan Piala Dunia lelaki dan wanita secara dwitahunan dalam misi meningkatkan kualiti bola sepak di seluruh dunia.

“Future of Football memiliki peranan penting dalam pembangunan dan pertumbuhan bola sepak yang mapan di segenap pelusuk dunia,” tambahnya. – BERNAMA