PAS terus istiqamah menjuarai perpaduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penyatuan umat atas nama Islam adalah cita-cita PAS, kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Katanya, kekuatan Islam di era pembinaan negara Islam Madinah di zaman Rasulullah SAW dibina di atas kekuatan perpaduan ummah antara Aus dan Khazraj yang digabungkan dengan gelaran Ansar dengan Muhajirin dari Mekah.

- Advertisement -

Menurutnya, membina perpaduan penuh ranjau dan duri sementara syaitan-syaitan pengadu domba berkeliaran keliling kelalang, bergayut di bawah jubah dan baju kebangsaan membisikkan agenda perpecahan.

“Kita semua sayangkan perpaduan umat ini kerana ia merupakan kunci kejayaan membina negara ini berasaskan panduan al-Quran dan al-Sunnah,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau.

Beliau menambah, menghancurkan perpaduan sangat mudah kerana ia tidak memerlukan kecerdikan.

Namun, ujar beliau membinanya memerlukan kesungguhan, usaha, daya dan upaya yang besar serta pengorbanan jiwa dan perasaan.

Tambahnya, para pendakwah perpaduan adalah doktor yang sedang merawat penyakit hati umat yang sedang berpecah dan hendaklah bersabar dengan kerenah pesakit.

“Usah terpedaya dengan bisikan bahawa kita sudah kuat tidak memerlukan rakan untuk saling memperkuatkan,” ujarnya yang juga Setiausaha Majlis Syura Ulamak.

Beliau berkata, ketamakan selalu menjadi punca kerugian besar penuh penyesalan di hari mendatang.

“Marilah kita terus bersabar menjuarai usaha perpaduan yang wajib pada syarak dan bukannya sunat,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 1/10/2021