Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis kembali ke rahmatullah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis, Abdul Karim Mat Rejab, 75, menghembuskan nafasnya terakhir pada jam 11.30 malam tadi di Hospital Tengku Fauziah (HTF) akibat jangkitan paru-paru.

Arwah dimasukkan ke hospital tersebut dua minggu lepas bagi mendapat rawatan lanjut.

Abdul Karim meninggalkan seorang isteri, Fatimah Hassan, 72 dan lima anak.

Allahyarham dilahirkan pada 12 September tahun 1946 di Pendang, Kedah dan mula berhijrah ke Perlis sekitar 1980-an.

- Advertisement -

Allahyarham mula bergiat aktif dalam PAS setelah bersara dari Angkatan Tentera Malaysia, 31 tahun lalu.

Beliau mula menjadi petugas Kompleks PAS Perlis sejak 1996 dan memegang jawatan Ketua Staf Pejabat sehingga sekarang.

Pernah menjawat jawatan Yang Dipertua PAS Padang Besar sebanyak dua kali iaitu 1997-2009 dan 2017-2021.

Beliau juga pernah menyandang jawatan Ketua Penerangan PAS Perlis 1995-1997 dan Pengarah Pilihanraya PAS Negeri pada 1997 dan 2019.

Selain itu, Abdul Karim juga diberi amanah sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1997-2007 dan 2017 sehingga sekarang.

Menurut Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli arwah seorang yang komited dan istiqamah berjuang dalam PAS sehingga ke akhir hayatnya.

“Walaupun dalam keadaan uzur, arwah tetap hadir ke pejabat untuk memantau gerak kerja staf.

“Sehinggalah dua hari sebelum dimasukkan ke hospital beliau masih datang ke pejabat namun pulang awal kerana keuzuran,” katanya ketika ditemui di sini.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Tunjong, Beseri.

Arwah juga mempunyai bakat dalam bidang masakan, antaranya mempolopori Bubur Lambuk KOMPAS yang terkenal pada Ramadan. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -