RMK-12: Pembangunan Tumpat jadi tumpuan perbahasan

- Advertisement -

SAYA telah memulakan ucapan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 saya dengan mengucapkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri di atas usaha yang tidak berbelah bahagi menyediakan perancangan lima tahun yang besar dan penting kepada negara walaupun dihimpit dengan tekanan ekonomi, kesihatan dan sosial ketika ini. Semoga segala yang dirancang ini dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien.

Dalam perbahasan saya di Parlimen semalam, saya telah membangkitkan mengenai pembangunan di Parlimen Tumpat supaya ia diberikan perhatian khusus oleh kerajaan. Perkara ini selaras dengan fokus Melonjakkan Pembangunan Negeri-negeri Kurang Membangun yang disemat dalam RMKe-12.

- Advertisement -

Antara perkara yang saya sentuh dalam perbahasan saya adalah:

i. Memasukkan semula stesen Wakaf Bharu dan Pengkalan Kubor dalam projek ECRL seperti mana yang dirancang dalam jajaran asal. Namun begitu, kerajaan perlu memastikan laluannya menghindari kawasan perumahan dan penduduk yang padat.

ii. Memberikan jaminan penyelesaian isu air di Kelantan yang tuntas dengan peruntukan RM7 bilion.

iii. Mengembalikan kegemilangan pelabuhan di Tumpat dengan menjadikan Tumpat sebagai Pusat Membaiki Kapal (Maintenance, Repair & Operate (MRO) di Mukim Tabar. Sebelum perang Dunia Kedua, daerah Tumpat terkenal dengan Pelabuhan Bijih Besi di Jubakar Pantai dan Pelabuhan Perdagangan di Palekbang.

iv. Mewujudkan signage nama yang besar dan berlampu di sepanjang Sungai Kelantan dari Selatan sampai ke bandar Kota Bharu di bahagian Utara.

v. Menaiktaraf jeti Pulau Suri dan Pusat Perniagaan Pasar Terapung Pulau Suri bagi menjamin aspek keselamatan pengunjung dan perniagaan setempat.

vi. Membangunkan Mukim Tebing sebagai daya tarikan pelancongan yang khusus melibatkan ladang kelapa pandan dan ladang durian Belanda serta Pondok Meheliah sebagai Pusat Terapi Rohani dan Jiwa bersesuaian Kelantan sebagai hub pelancongan pendidikan dan agama. 

vii. Menambah peruntukan khusus kepada perlaksanaan program JENDELA di Kelantan secara umum dan Tumpat secara khusus. 

viii. Mewujudkan Pusat Internet Komuniti sebagai one-stop centre digital setempat.

ix. Menjadikan Kelantan sebagai mini lembah siber silicon dengan kawasan liputan jalur lebar dan aktiviti atas talian berkapasiti tinggi kepada penggunaan data raya dan hub inovasi negeri.

Saya juga telah membangkitkan secara khusus mengenai capaian internet di Parlimen Tumpat. Penjelasan Kementerian Komunikasi dan Multimedia berkenaan dengan status pembinaan premis yang diliputi akses gentian optik serta projek menaiktaraf stesen pemancar antara perkara yang saya telah sentuh dalam ucapan perbahasan saya. 

Oleh kerana masa yang terhad tidak mengizinkan saya untuk menyebutkan lebih banyak lagi perkara yang menjadi keperluan rakyat Tumpat. Namun, saya akan menggunakan segala ruang lain yang ada nanti untuk membangkitkan isu-isu kepentingan rakyat secara amnya dan rakyat Tumpat yang saya wakili secara khususnya.

Kesemua perancangan kerajaan ini memerlukan kerjasama semua pihak melalui pendekatan ‘whole of nation’ serta ‘whole of society’ bagi memastikan segala yang dirancang berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan berdasarkan kepada bidang-bidang keberhasilannya. 

Sekian, terima kasih.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

DATO’ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat – HARAKAHDAILY 30/9/2021