Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Masalah bekalan air di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Salor dijangka berakhir setelah tiga projek dilaksanakan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada Oktober ini.
Projek tersebut melibatkan pemasangan paip baru dari Medan Telaga Tok Jaafar, Wakaf Che Yeh ke Loji Rawatan Air (LRA) Pintu Geng.
Selain itu baikpulih telaga tiub di LRA Wakaf Che Yeh dan telaga di Kampung Surau.
Adun Salor Saiful Adli Abu Bakar berkata, sebagai langkah jangka pendek Pusat Khidmat Dun (PKD) Salor turut menyediakan perkhidmatan lori menghantar air kepada kawasan yang terjejas.
“Sekiranya ketiga-tiga projek tersebut berjalan serentak, saya yakin masalah bekalan air di Salor akan pulih dalam tempoh tiga bulan lagi.
“Jadi untuk mengelakkan berlarutan lama, sekarang dalam proses lantik kontraktor setelah dilulus kementerian dan kerajaan negeri,” katanya selepas menyempurnakan majlis tahnik dan cukur rambut di PKD Salor di Wisma Tok Guru, Kampung Pendek semalam.
Saiful Adli berkata, pembinaan paip baru sejauh kira-kira 1.2 kilometer itu dari Medan Telaga Tok Jaafar ke LRA Pintu Geng menelan belanja sebanyak RM3.2 juta dan naik taraf telaga tiub LRA Pintu Geng RM70,000.
“Medan Telaga Tok Jaafar di Wakaf Che Yeh mempunyai tiga telaga tiub untuk salurkan air ke LRA Pintu Geng melibatkan projek bernilai RM3.2 juta.
“Di LRA tersebut tiga telaga tiub yang runtuh sebelum ini, kita akan pulihkan semula dua daripadanya, mampu menampung sehingga satu hingga dua juta liter sehari,” katanya.
Menurut beliau juga sebuah telaga yang dibina 30 tahun lalu hak milik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang kini terbiar akan dibangun semula untuk menyelesaikan masalah air sehingga 5,000 rumah. – HARAKAHDAILY 30/9/2021