Politik prihatin era Muhyiddin wajar diteruskan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Politik prihatin dan politik khidmat yang menjadi amalan semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin wajar diteruskan kerajaan sekarang termasuk melaksana Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Ketua Penerangan Bersatu Malaysia Dato’ Wan Saiful Wan Jan berkata, kandungan RMK12 dirangka di bawah pentadbiran Muhyiddin membolehkan beliau memahami dengan mendalam mengenai kandungan, semangat dan matlamatnya.

“Seperti yang diperingatkan Tan Sri Muhyiddin, kerajaan perlu menunjukkan komitmen yang berterusan dalam menjaga kemaslahatan rakyat.

- Advertisement -

“Denyut nadi dan kesusahan yang mereka tempuh sepanjang hampir dua tahun mengharungi suasana pandemik, mesti didengar, dibantu dan diberi perhatian sewajarnya,” kata beliau pada kenyataan hari ini.

Ketika mengambil bahagian membahas RMK12 pagi tadi Muhyiddin berharap kerajaan memberi penelitian terhadap realiti kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Wan Saiful berkata, gesaan bekas perdana menteri itu selari dengan prinsip terangkum dalam RMK12, yang dimulakan melalui pelbagai pakej bantuan sebelum ini.

Menurutnya juga projek-projek yang bakal dilaksanakan termasuk yang berimpak tinggi seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) perlu memberi peluang kepada kepakaran dan konsortium kewangan tempatan.

“Malaysia mempunyai ramai usahawan yang ada kepakaran dalam pelbagai sektor dan mereka mesti diberi ruang untuk menyumbang kepada pemulihan negara,” katanya.

Beliau juga berkata, sektor swasta menjadi enjin pertumbuhan ekonomi negara.

“Maka langkah menilai semula peranan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan, GLC dan GLIC adalah langkah yang betul.

“Kewujudan semua entiti itu harus membantu merancakkan ekonomi, bukannya mengekang perkembangan atau pun bersaing dengan syarikat dan usahawan tempatan,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

- Advertisement -