Kerajaan buat kajian semula kadar pencen

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengkaji semula kadar pencen pesara kerajaan yang jumlahnya lebih rendah daripada kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata kadar PGK sekarang sebanyak RM2,208 menyebabkan sesetengah pesara menerima pencen lebih rendah dari PGK berikutan kadar pencen paling rendah ialah kira-kira RM1,000.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan menyedari sesetengah pesara yang masih mempunyai komitmen dalam kehidupan menyebabkan mereka terpaksa terus bekerja.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang membuat satu kajian yang akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, sebelum dibuat memorandum kepada Kabinet.

“Kajian itu untuk melihat kembali, sama ada penjawat awam selesa setelah mereka bersara,” katanya menjawab soalan P Kasthuriraani (DAP-Batu Kawan) di Dewan Rakyat, hari ini.

Kasthuriraani meminta penjelasan kerajaan berhubung tindakan untuk mengatasi isu pesara yang terpaksa bekerja walaupun menerima pencen.

Ketika menjawab soalan lisan sebelum itu, Dr Abdul Latiff berkata, kerajaan belum bersedia untuk menaikkan kadar pencen pesara kerajaan.

Bagaimanapun, katanya kerajaan telah melaksanakan kenaikan pencen sebanyak dua peratus setiap tahun mulai pada 1 Januari 2013.

“Kenaikan pencen tahunan ini diharapkan dapat membantu pesara menampung kenaikan kos sara hidup akibat kenaikan harga barangan.

“Sebarang langkah pembaharuan yang melibatkan kewangan perlu dikaji dan diteliti oleh kerajaan bagi mengoptimumkan kewangan kerajaan dan memastikan kebajikan penjawat awam sentiasa terjamin,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/21

- Advertisement -