Islam tidak membezakan warna kulit

- Advertisement -

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 12)

Abu Zar al-Ghifari ra pernah sekali bertengkar dengan seorang Islam berkulit hitam. Abu Zar berkata dalam keadaan marah: ‘Wahai anak orang kulit hitam!’

- Advertisement -

Nabi SAW mendengar ucapan bersifat jahiliah itu. Baginda sangat membencinya, lalu bersabda kepada Abu Zar:
أعيرته بأمه؟ إنك امرؤ فيك جاهلية!
“Adakah engkau malukan ibunya? Sesungguhnya engkau ini seorang yang ada sifat jahiliah.”

Baginda terus bersabda yang bermaksud: “..Tidak ada kelebihan orang berkulit putih dari yang berkulit hitam kecuali dengan taqwa atau amal soleh.”

Abu Zar menyesali perbuatannya. Teguran Nabi terkesan pada hatinya. Lantas beliau meletakkan pipinya di tanah, dan berkata kepada lelaki berkulit hitam itu: Bangun, pijak pipiku.

Kisah di atas kelihatan sangat ringkas dan mudah difahami. Namun, ia sebenarnya adalah satu manifestasi penting berkaitan keadilan Islam sejagat yang meletakkan neraca yang benar terhadap sesuatu perkara.

Putih dianggap lebih mulia dari hitam, sedangkan kedua-duanya hanyalah warna dari pelbagai warna yang ada. Bahkan kadang-kadang, di tempat tertentu, pada objek tertentu, warna hitam lebih menarik dan menonjol dari warna putih.

Islam tidak memandang semata-mata kepada perkara zahir. Justeru, kita bertemu dalam hadis lain yang mengingatkan bahawa Allah tidak melihat kepada rupa paras, bentuk badan, tetapi Allah melihat kepada hati kamu.

Dalam dunia moden, Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln pernah berusaha membanteras apartheid yang berlaku di negaranya. Membezakan kulit putih dan hitam di kalangan manusia di negara yang kononnya hebat sehingga menindas orang kulit hitam yang dijadikan sebagai hamba kepada orang berkulit putih. Amerika mengambil masa yang lama untuk mengikis kezaliman sosial berdasarkan warna kulit ini.

Dalam sejarah Islam pula, Nabi dan para sahabat telah membebaskan ramai orang yang menjadi hamba, sama ada berkulit putih atau hitam. Bilal bin Rabah berkulit hitam, tetapi kualiti iman dan kedudukannya dalam Islam sangat tinggi.

Nabi SAW segera menegur Abu Zar apabila didengar ucapan jahiliah itu. Kita juga sepatutnya demikian. Jangan ada ucapan berbentuk jahiliah yang membezakan warna kulit manusia, di mana sahaja ia berlaku. Namun, dalam masa yang sama, perlu juga diiktiraf bangsa yang mendominasi sesuatu tempat, tanpa menindas dan menzalimi kaum lain. Oleh itu, Nabi sebut dalam hadis lain: Pemimpin itu dari kalangan Quraisy.

Abu Zar bersedia meletakkan pipinya ke tanah supaya lelaki berkulit hitam itu membalasnya. Kita tak perlu meletakkan pipi ke tanah. Cukup dengan kita meletakkan nilai yang hebat ini dalam kehidupan, sama ada bersifat peribadi hinggalah bernegara. – HARAKAHDAILY 30/9/2021

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

- Advertisement -