Cansino dan Sinovac bantu Malaysia bangunkan vaksin negara

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Malaysia bakal bekerjasama dengan syarikat pembangun vaksin Covid-19, Cansino, dan Sinovac, untuk membangunkan vaksin keluaran negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Dato’ Seri Dr Adham Baba, berkata pembangunan vaksin virus tidak aktif itu akan dibantu oleh beberapa pakar tempatan seperti Pakar Virologi Universiti Malaya, Prof Dr Sazaly Abu Bakar.

- Advertisement -

Katanya, pakar lain ialah Dekan Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Datin Dr Khatijah Yusoff, dan Ahli Mikrobiologi Klinikal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Dr Norazah Ahmad.

“Kita juga telah berbincang untuk berkolaborasi dengan Universiti Chulalongkorn, Thailand, dan seorang pembangun vaksin Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) yang berkolaborasi dengan Amerika Syarikat.

“Selain itu, negara berkolaborasi dengan syarikat Bharat Biotech dari India untuk membantu Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) vaksin Covid-19,” katanya menjawab soalan Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR-Pandan), di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, kata Dr Adham, kerajaan akan membangunkan satu pelan strategik pembangunan vaksin negara yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada 1 November ini.

Menurutnya, kerajaan juga bersetuju untuk memastikan kumpulan pembangun vaksin terdiri daripada kalangan ahli biologi, mikrobiologi dan farmakologi klinikal, selain menyediakan pusat ujian klinikal manusia Fasa Satu, Dua dan Tiga yang mencukupi.

Sementara itu setakat 20 Ogos lalu, katanya kerajaan telah membelanjakan kira-kira RM2.8 bilion daripada RM5 bilion yang diperuntukkan untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Katanya, sebanyak RM2.6 bilion atau lebih 92 peratus digunakan khusus untuk pembelian dan logistik vaksin Covid-19.

“Sejumlah RM210 juta pula digunakan untuk program penyumberluaran program imunisasi oleh pengamal perubatan swasta, manakala kos bagi aset PICK Kementerian Kesihatan sebanyak RM19 juta. – HARAKAHDAILY 30/9/21

- Advertisement -