Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Mata pelajaran Pendidikan Islam telah ditetapkan sebagai subjek teras yang mesti dipelajari murid beragama Islam di semua sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta seluruh negara seperti yang termaktub mengikut Seksyen 50(1) Akta Pendidikan Negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Dato’ Mohamad Alamin, berkata pentaksiran bagi subjek tersebut adalah melalui Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk semua peringkat persekolahan.
Katanya, bagi peringkat menengah rendah, pentaksiran pusat turut dibuat melalui Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
“Manakala bagi peringkat menengah atas, peperiksaan pusat dilaksanakan melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Sabri Azit (PAS-Jerai) yang bertanya usaha kerajaan untuk menjadikan mata pelajaran Pendidikan Islam sebagai subjek teras bagi pelajar beragama Islam. – HARAKAHDAILY 29/9/21