MAFI jamin sekuriti makanan negara kekal utuh

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Kerajaan merangka Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025 bagi meningkatkan daya tahan sistem makanan kekal utuh menghadapi sebarang tekanan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Seri Ahmad Hamzah, berkata ini dilakukan menerusi usaha pemerkasaan sistem makanan negara bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli.

- Advertisement -

Beliau berkata, antara strategi utama melalui Pelan Tindakan DSMN merangkumi perluasan penggunaan teknologi dalam sistem makanan sebagai langkah pragmatik untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti sistem ini, berteraskan skala ekonomikal dan pertanian mampan.

Katanya, MAFI juga akan memperkasakan pendidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan ke arah meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan dan input pertanian seperti makanan ternakan, baka, dan juga benih berkualiti secara domestik.

“MAFI juga memperkasakan data sekuriti makanan bagi mengenal pasti dan memantau tahap sekuriti makanan penduduk Malaysia berdasarkan lokaliti.

“Kerajaan juga menterjemahkan aspirasi `Keselamatan Makanan Sebagai Tanggungjawab Bersama’ dengan memfokuskan usaha memperluaskan kerjasama strategik berteraskan sekuriti makanan antara kementerian, kerajaan negeri dan sektor swasta,” katanya menjawab soalan lisan Dato’ Seri Idris Jusoh (BN-Besut) di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad berkata, kementerian juga akan memperkukuh tadbir urus merentas jabatan dan agensi untuk merapatkan jurang dalam sistem makanan bagi meningkatkan kecekapan pemantauan sekuriti makanan negara.

Beliau yakin strategi yang dikenal pasti ini akan dapat menyumbang kepada usaha memperkukuh sekuriti makanan negara dengan memastikan bekalan makanan yang selamat dan harga berpatutan di pasaran.

Selain itu, katanya kementerian meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat bagi mengoptimumkan sumber dalam sistem makanan.

“Kerajaan juga memberi jaminan kesiapsiagaan negara menghadapi krisis sekuriti makanan serta mendukung kestabilan dan ketahanan sistem makanan negara.

Malah, katanya kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) bagi meneliti isu berkaitan sekuriti makanan negara secara menyeluruh dan holistik dan diperkukuhkan di semua peringkat rantaian makanan.

Katanya, MAFI akan terus berusaha merapatkan jurang dalam sistem makanan bagi menjamin kestabilan dan kemampanan sistem ini, terutama ketika menghadapi Covid-19. – HARAKAHDAILY 29/9/21

- Advertisement -