Kementerian Wilayah beri peluang belia B40 jadi usahawan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memberi peluang golongan B40 terutamanya belia berpotensi menjadi usahawan.

Menteri Wilayah Persekutuan Dato’ Sri Shahidan Kassim berkata, inisiatif dilaksanakan DBKL mendorong minat dan membantu anak muda memulakan perniagaan secara teratur dan mengikut lokaliti yang ditetapkan.

“Diharapkan inisiatif ini dapat membantu golongan B40, terutamanya belia yang mempunyai minat dalam bidang keusahawanan,” katanya pada catatan di laman sosialnya semalam.

- Advertisement -

Sebelum itu beliau turun padang melawat tapak Urban Street Dining di Taman Melati dengan menemui anak-anak muda yang berniaga di situ.

Menurutnya juga program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota diharap merubah perspektif warga kota terhadap imej konsep perniagaan yang konvensional kepada perniagaan moden.

Katanya program berkenaan selari dengan matlamat My City My Home.

Program Pembangunan Usahawan Anak Muda Kota memberi peluang golongan terjejas khususnya belia kota yang kehilangan pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Program itu memberi peluang peniaga berniaga di kawasan perniagaan di lokasi tumpuan ramai khususnya di pusat bandar Kuala Lumpur dengan kadar sewa lebih murah.

Sehingga kini, seramai 126 Usahawan Muda Kota ditawarkan kios di Wilayah Persekutuan.

Daripada jumlah tersebut 99 usahawan beroperasi di Kuala Lumpur yang melibatkan 99 lot niaga milik DBKL, manakala 27 usahawan beroperasi menerusi lot niaga di bawah Perbadanan Putrajaya (PPj).

Sebanyak 1,122 kiosk dan ruang niaga disasarkan sehingga tahun 2023 di beberapa lokasi strategik dengan kadar sewa yang rendah di Wilayah Persekutuan. – HARAKAHDAILY 29/9/2021

- Advertisement -