RMK-12 selari agenda penjenamaan ekonomi anak muda

PEMUDA Perikatan Nasional menyambut baik serta memberi sokongan penuh kepada Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pelan pembangunan dengan objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ ini diyakini akan dapat memulihkan serta merancakkan semula pembangunan sosioekonomi Malaysia dan akan membolehkan seluruh Keluarga Malaysia melangkah ke hadapan dengan menstruktur semula ekonomi negara sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat.

Advertisement

Fokus yang diberikan kepada 3 Tema Utama dengan 4 Pemangkin Dasar sebagaimana yang telah dibentangkan YAB Perdana Menteri, dilihat akan membantu negara memacu deras cita-cita negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi, mengurangkan kadar kemiskinan tegar, meningkatkan taraf hidup rakyat, memberi fokus kepada keselamatan, kesiapsiagaan kecemasan, kebajikan, tadbir urus yang baik serta pembangunan lestari dengan perhatian kepada teknologi hijau yang mengurangkan tekanan kepada alam sekitar.

Kami amat menyambut baik langkah kerajaan yang dilihat selari dengan pendekatan Penjenamaan Semula Ekonomi Anak Muda Pasca COVID-19 di dalam penetapan 4 Pemangkin Dasar yang memberi perhatian kepada perancangan pembangunan bakat masa depan, membina kekuatan tenaga kerja berkemahiran tinggi, mempercepatkan penerimagunaan teknologi dan inovasi terkini, penambahbaikan ketersambungan serta infrastruktur pengangkutan serta memperkukuhkan pentadbiran awam. Ia seiring dengan apa yang diperjuangkan Pemuda Perikatan Nasional selama ini.

Dalam merangka RMK-12, kami turut menyambut baik cadangan pembangunan rumah mampu milik serta fokus kepada pembangunan infrastruktur sukan awam yang menyeluruh di seluruh negara bagi membina sebuah masyarakat yang berpadu serta sihat. 

Pemuda Perikatan Nasional berharap inisiatif serta perancangan RMK-12 ini akan dapat disokong dan didukung oleh barisan Kabinet yang berintegriti, berwibawa, beriradat serta mendapat sokongan penuh rakyat untuk dijayakan secara bersama. 

Sebagai Pemuda, kami akan sentiasa bersama dan terus mendoakan agar YAB Perdana Menteri akan dipermudahkan urusan memimpin negara demi memastikan perancangan dan wawasan ini dapat dicapai dan dikecapi bersama. 

“Keluarga Malaysia, Menang Bersama” 

YB SENATOR IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda Perikatan Nasional
Ketua Pemuda PAS – HARAKAHDAILY 28/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/107575511165573/posts/323745409548581/