Rampasan daun ketum ke-14 tahun ini di perairan Perlis

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Perlis merampas 60 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, rampasan itu dibuat di kedudukan 0.3 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis pada jam 8.50 pagi semalam, menerusi Op Benteng Laut.

- Advertisement -

Katanya, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diaturgerak melakukan pengesanan dan serbuan ke lokasi setelah menerima maklumat risikan berkaitan aktiviti sindiket menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.

“Semasa rondaan, anggota Maritim mengesan seorang suspek sedang mengemudi bot kayu tanpa nombor pendaftaran menggunakan enjin sangkut bergalah dalam keadaan yang mencurigakan keluar dari muara Kuala Perlis ke sempadan Thailand.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan berpatah balik ke arah persisir pantai Kuala Perlis.

“Suspek kemudian terjun dari bot tersebut dan melarikan diri ke daratan berhampiran meninggalkan bot serta muatan,” katanya pada satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau hasil pemeriksaan ke atas bot tersebut menemukan selembar pukat jaring menutupi bungkusan plastik hitam yang disyaki daun ketum dianggar 600 kilogram dan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Nilai rampasan 600 kilogram daun ketum tersebut dianggarkan RM108,000 dan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM116,000.

“Kesemua bungkusan plastik hitam berisi daun ketum, bot kayu dan enjin bergalah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Mohd Shafie berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan, suspek yang ditangkap boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Menurutnya juga bekalan daun ketum itu dipercayai cuba diseludup ke Thailand berikutan permintaan yang tinggi di negara terbabit.

Rampasan itu merupakan kali ke-14 membabitkan daun ketum tahun ini bagi Zon Maritim Kuala Perlis dengan jumlah keseluruhan 6,755 kilogram bernilai RM1.23 juta.

Selain itu pada perkembangan lain dua kontena ketum berjaya dirampas Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Hulu menerusi satu serbuan di Kawasan Transit Kontena Kargo Padang Besar, pada 3 Petang semalam.

Rampasan daun ketum seberat 700 kilogram itu dianggarkan bernilai RM21,000 manakala rampasan dua kontena itu bernilai RM30,000. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -