Malaysia meningkat satu tangga dalam indeks sekuriti makanan

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kedudukan Malaysia dalam Indeks Sekuriti Makanan Dunia (GFSI) meningkat satu tangga, iaitu nombor 43 pada tahun lalu berbanding 44 pada tahun 2019.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata Malaysia kini berada pada kedudukan lapan terbaik di kalangan negara Asia Pasifik.

Di peringkat Asia Tenggara, katanya Malaysia adalah negara kedua terbaik selepas Singapura dalam indeks berkenaan.

- Advertisement -

“Kedudukan Malaysia pada tahun 2020 di peringkat Asia Tenggara adalah lebih baik berbanding Thailand, Indonesia, Vietnam, Myanmar, dan Filipina.

“Namun demikian, tidak dapat dinafikan masih terdapat pelbagai cabaran yang perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh sekuriti makanan negara,” katanya ketika menjawab soalan Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dr Ronald berkata, antara cabaran tersebut adalah kebergantungan import makanan, peningkatan permintaan, perubahan iklim, dan kekangan sumber asli.

Katanya, cabaran lain ialah kekurangan tenaga kerja mahir dan penglibatan golongan belia, tahap penggunaan teknologi yang rendah serta amalan pertanian yang kurang lestari.

Justeru itu, katanya kerajaan komited untuk terus memperkukuhkan sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan, sekali gus mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam GFSI pada masa akan datang.

“Antara usaha Kerajaan untuk memperkukuhkan sekuriti makanan termasuk penubuhan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) dan pembangunan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang holistik dan mampan.

“Elemen jaminan sekuriti makanan negara juga merupakan prioriti MAFI dalam usaha meningkatkan ketersediaan makanan negara dan telah dijajarkan dalam dokumen dasar utama MAFI, iaitu Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0),” katanya. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -