Malaysia masih menjadi negara tumpuan pelabur asing

- Advertisement -

SAYA melahirkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali yang memberi jawapan kepada soalan saya dalam sesi jawapan lisan bagi pertanyaan-pertanyaan di Parlimen pada 27 September 2021. Saya mengajukan soalan untuk mengetahui rancangan strategik kementerian dalam menjadikan Malaysia sebagai negara mesra pelabur pasca COVID-19 bagi menarik pelaburan daripada syarikat-syarikat gergasi Antarabangsa.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2021, Malaysia berjaya menarik pelaburan bernilai RM107.5 bilion meliputi sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama. Jumlah ini merekodkan lonjakan ketara sebanyak 69.8 peratus berbanding RM63.3 bilion bagi tempoh yang sama pada tahun 2020. Daripada jumlah pelaburan ini, pelaburan langsung asing atau Foreign Direct Investment (FDI) menyumbang sebanyak 58.1 peratus atau RM62.5 bilion iaitu tiga kali ganda daripada jumlah FDI yang diluluskan bagi tempoh yang sama pada tahun 2020 iaitu RM19.8 bilion. 

- Advertisement -

Manakala pelaburan langsung tempatan atau Domestic Direct Investment (DDI) menyumbang sebanyak 41.9 peratus atau RM45.1 bilion. Pelaburan ini melibatkan 2,110 projek dan dijangka mewujudkan hampir 45 ribu peluang pekerja baharu. Daripada keseluruhan jumlah FDI tersebut, sektor perkilangan mencatatkan jumlah tertinggi iaitu RM58.2 bilion atau 93.1 peratus daripada jumlah kelulusan. Sektor perkhidmatan dan utama pula masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM2.16 bilion atau 3.5 peratus dan RM2.15 bilion atau 3.4 peratus.t.

Bagi mencerdaskan semula ekonomi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dijadikan sebagai pemangkin untuk membuka semula ekonomi secara selamat dan bersistematik. Sebagai langkah tambahan dalam memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja dilindungi, MITI melaksanakan Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam Swasta (PIKAS) yang bertujuan mempertingkatkan kadar vaksinasi pekerja sektor pembuatan.

Kerajaan juga akan terus memperkukuh asas-asas ekonomi negara melalui pelaksanaan dasar-dasar perdagangan dan pelaburan yang terbuka, telus serta mesra perniagaan. Kementerian akan terus menyasarkan pelaburan berkualiti tinggi berorientasikan teknologi termaju berpandukan National Investment Aspiration (NIA) yang turut memberi fokus kepada kelestarian jangka masa panjang dengan menekankan elemen environmentalsocial and governance (ESG) dalam pengoperasian.

Justeru, saya berharap Kementerian akan terus komited dalam menarik pelaburan asing bagi memastikan rantaian ekonomi kita terus berkembang dalam situasi negara kita sedang berusaha melakukan pemulihan sistem kesihatan dan kesihatan pada waktu ini. Rakyat negara sudah pasti akan menerima manfaat dari setiap hasil pelaburan yang datang ke dalam negara kita dari segi peluang pekerjaan mahupun pengalaman. 

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -