KDN bertindak atasi kesesakan penjara

Foto hiasan.
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil beberapa tindakan untuk mengurangkan kesesakan di penjara, sekali gus menangani penularan wabak Covid-19 di kalangan banduan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said, berkata setakat 25 Ogos lalu, jumlah keseluruhan banduan di penjara adalah seramai 69,507 orang, melebihi kapasiti sebenar seramai 61,242, iaitu sebanyak 13.50 peratus atau 8,265 orang.

- Advertisement -

Katanya, keadaan ini menyebabkan Jabatan Penjara Malaysia mengambil beberapa tindakan bagi mengurangkan kesesakan.

“Antara tindakan berkenaan ialah memindahkan banduan ke penjara lain yang tidak sesak dan membuka beberapa penjara sementara dengan mengubah suai 13 bekas kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai Penjara Satelit (PS).

“PS yang diwartakan mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995 menempatkan banduan baharu untuk tujuan pengasingan sebelum dimasukkan ke penjara,” katanya menjawab soalan lisan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini.

Wan Hassan bertanyakan perancangan KDN untuk menyelesaikan masalah kesesakan penjara berikutan penularan jangkitan yang pantas di kalangan banduan, terutama jangkitan Covid-19.

Ismail berkata, Jabatan Penjara Malaysia turut mewujudkan Pusat Transit Penerimaan (PTP) di penjara bagi mengurangkan tahap kebolehjangkitan Covid-19 di kalangan banduan serta mengurangkan kesesakan.

Katanya, PTP menempatkan banduan sabitan dan reman kategori risiko keselamatan minimum dengan mengambil kira keperluan pengasingan berdasarkan tarikh kemasukan.

“Selaras dengan hala tuju Jabatan Penjara Malaysia, iaitu dua pertiga banduan sabitan yang layak akan menjalani pemulihan di luar tembok penjara atau Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), langkah mengurangkan kesesakan juga dilakukan melalui beberapa tindakan,” katanya.

Beliau berkata, ini termasuk pelepasan secara perintah parol, perintah kehadiran wajib, pelepasan awal 14 hari (keistimewaan bagi banduan peringkat Khas), program reintegrasi penghuni industri, pelepasan banduan secara lesen dan pusat pemulihan kemasyarakatan. – HARAKAHDAILY 28/9/21

- Advertisement -