Karya pensyarah PJJ tarik perhatian pemimpin dunia

GEORGETOWN: Isu cadangan pengurusan Universiti Sains Malaysia (USM) dikatakan akan membubarkan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) nampaknya seperti tidak berpenghujung.

Sedangkan cadangan itu dibantah keras bekas pelajar dengan menaikkan kempen ‘#prayforpppjjusm’ di samping melancar gerakan di alam maya.

Desas desus cadangan pembubaran itu dikemukakan pengurusan USM dikatakan dengan alasan PJJ tidak menjana ‘keuntungan’ yang tinggi.

Advertisement

Pengurusan USM juga mempertimbangkan beberapa perkara untuk memastikan pelajar PJJ menerima kualiti pengajaran yang terbaik di USM.

Kata satu kenyataan cadangan penstrukturan semula tersebut supaya kesemua staf akademik PJJ dikembalikan ke Pusat Pengajian asal supaya mereka lebih kukuh aspek akademik.

Selain itu silibus yang ditawarkan kepada pelajar PJJ pada tahap yang sama dengan apa yang diajar di Pusat Pengajian.

Kenyataan tersebut juga menyebut kadar graduasi PJJ serendah 20 peratus dan kadar kegagalan sesetengah program adalah setinggi 50 peratus?

Isu tersebut turut menarik perhatian mantan Pengarah Pusat Pengajian Luar Kampus (PPLK) USM Prof Qasim Ahmad.

Menurut sumber pengasas PJJ tersebut menanyakan apa yang sebenarnya berlaku di USM sehingga ada cadangan hendak memansuhkan pusat pengajian tersebut.

Katanya cadangan pihak pengurusan USM itu juga seolah-olah mempertikaikan kewibawaan saintis sosial dan saintis politik yang berkhidmat sepenuh masa di PJJ dan bukannya di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK).

“Sedangkan karya akademik yang dihasilkan di PJJ dibaca di peringkat dunia termasuk oleh pemimpin-pemimpin besar negara lain.

“Namun apa yang berlaku sekarang seola-olah standard pensyarah di PJJ diperlekehkan sehingga diminta pula memasuki PPSK,” katanya.

Sementara itu bekas-bekas graduan lepasan PJJ dari seluruh negara meluahkan rasa terkilan terhadap cadangan mengkaji semula peranan pusat pengajian tersebut.

Kata PJJ mendewasakan mereka dengan ilmu dan pengalaman sehingga sekarang ramai menduduki jawatan penting di sektor awam dan swasta.

Menurutnya juga ramai pemimpin politik negara dan ahli akademik dihasilkan dari bumbung PJJ di USM.

“Oleh itu cadangan untuk mengkaji atan menstruktur semula PJJ amat tidak sesuai kecuali bagi mereka yang tidak tahu sejarah jatuh bangunnya,” kata seorang bekas pelajar dari Kota Kinabalu. – HARAKAHDAILY 28/9/2021