Jangan nafikan kesyumulan Islam

- Advertisement -

SAYA masih ingat apabila saya mula-mula dilantik sebagai Exco Perumahan Negeri Selangor dalam tahun 2008, ada yang tidak percaya saya daripada PAS. Mereka tidak menyangka orang PAS boleh menjadi Exco Perumahan. Mungkin pada mereka semua orang PAS adalah Ustaz. Maka tidak mungkin Tan Sri Khalid Ibrahim (Menteri Besar ketika itu) melantik seorang Ustaz menjaga perumahan.

Begitu juga kisahnya apabila saya pernah memberitahu seorang Ahli Parlimen Umno yang sekarang seorang Timbalan Menteri bahawa saya pernah menjadi Exco di Selangor. Respon spontan beliau, ‘Exco Agama ke?’. Walaupun saya tidak berpakaian seperti seorang Ustaz tradisional namun mungkin persepsi beliau jika orang PAS sudah tentu seorang Ustaz.

- Advertisement -

Persepsi sedemikian adalah satu pengiktirafan kepada PAS sebagai sebuah parti Islam oleh yang demikian pimpinan dan ahli-ahli PAS menguasai ilmu-ilmu agama. Persepsi ini tidak 100 peratus benar kerana bukan semua pimpinan PAS melalui sistem pendidikan agama secara formal seperti universiti, maahad tahfiz atau pondok walaupun ahli-ahli PAS perlu melalui proses tarbiyah yang sistematik. Maksud sistematik adalah terdapat kurikulum yang khusus untuk ahli-ahli yang merangkumi beberapa marhalah (peringkat) dari bawah hingga ke atas. Sesuatu yang terancang dan bukan dilaksanakan secara semberono.

Persepsi ini juga tidak 100 peratus benar kerana tumpuan pimpinan PAS bukan sahaja kepada urusan agama Islam tetapi juga kepada isu-isu lain walaupun perjuangan mendaulatkan agama Islam adalah ‘core business’ PAS. Di dalam PAS terdapat jawatan-jawatankuasa yang bertanggungjawab ke atas seluruh aspek kehidupan dan bidang pentadbiran kerajaan. Jawatankuasa ini yang dinamakan ‘Lajnah’ (Biro) merangkumi bidang-bidang seperti tanah, perumahan, undang-undang, pendidikan, ekonomi, alam sekitar, perubatan, pengguna dan banyak lagi. Sistem lajnah ini telah diwujudkan lama sebelum PAS menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan.

Apabila Ahli Parlimen PAS dilantik sebagai Menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas bidang-bidang seperti alam sekitar, air, undang-undang, sumber asli dan tenaga ia dapat mengubah persepsi rakyat bahawa PAS hanya layak menjaga agama semata-mata. Islam sebagai sebuah agama yang syumul merangkumi semua aspek kehidupan oleh yang demikian sebuah parti Islam atau jamaah Islam juga mesti berperanan di dalam semua aspek kehidupan. Peranan Islam tidak seharus disempitkan kepada bidang-bidang tertentu sahaja. Ramai yang telah lupa kehebatan teknologi Barat telah dibangunkan berasaskan khazanah-khazanah ilmuwan Islam dari zaman kegemilangan Islam. Kita perlu menggali ilmu-ilmu Islam untuk menemui penyelesaian-penyelesaian Islam kepada masalah-masalah yang dihadapi oleh dunia hari ini.

Pencapaian PAS di dalam kerajaan sama ada di peringkat Persekutuan atau negeri perlu dilihat dari skop yang lebih luas lagi. Jangan hanya memberi tumpuan kepada bidang-bidang tertentu yang dikatakan tradisional kepada PAS sahaja. Islam pernah memiliki tamadun gilang gemilang yang pernah menguasai dunia. Penguasaan Islam ini adalah terhasil dari penguasaan pelbagai bidang ilmu dan bukan terhad kepada ilmu-ilmu tertentu sahaja. Pusat-pusat ilmu Islam seperti Baghdad dan Cordoba (Qurtubah) sarat dengan ilmu yang ketika itu belum lagi dimiliki Barat.

Pertentangan di antara Islam dan Barat telah wujud selama lebih 1,000 tahun. Walaupun Barat telah menjajah negara-negara umat Islam, mereka tidak dapat menghancurkan Islam. Umat Islam tidak meninggalkan agama mereka secara beramai-ramai. Mereka masih teguh dengan pegangan mereka. Tetapi Barat telah mengubah cara pemikiran umat Islam agar tidak yakin dengan peranan Islam sama ada sebagai pentadbir atau sebagai penyelesai masalah. Peranan Islam dihadkan. Walaupun negara-negara umat Islam telah merdeka namun cara pemikiran yang ditanam oleh penjajah terus kekal. Akibatnya apabila terdapat pihak yang cuba membawa Islam, keupayaan mereka diragui.

Kehadiran PAS di dalam Kerajaan Persekutuan boleh membantu mengubah cara pemikiran ini. Gambar-gambar Menteri Alam Sekitar dari PAS yang berkopiah melawat sungai-sungai yang dicemari dapat membentuk persepsi baharu. Mungkin ada yang berkata, kalau setakat alam sekitar parti lain pun boleh buat. Tetapi adakah kita tidak mahu melihat penyelesaian Islam terhadap masalah alam sekitar?

Jika begitu apakah cara penyelesaian yang kita mahu? Adakah kita redha dengan penyelesaian cara Kapitalis, Sosialis atau Liberal? Kita perlukan juga penyelesaian Islam bagi bidang-bidang lain seperti perumahan, perancangan, pengguna, ekonomi dan banyak lagi. Siapa yang perlu mengusahakannya jika tidak PAS. Ia bukan perkara kecil. Contohnya satu aspek perumahan Islam boleh dijadikan kajian PhD. Islam adalah syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan, jangan kita menidakkan hakikat tersebut.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 28/9/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4717418348277125/

- Advertisement -