Industri dosa selindung bahaya ekonomi gelap

Mesti ditangani daripada aktiviti sekecil cabutan khas judi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Cabutan khas sektor perjudian perlu dilihat dalam skop lebih besar iaitulah industri dosa yang berkait dengan pergerakan ‘ekonomi gelap’, demikian nasihat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

Tegas beliau, PAS konsisten memperjuangkan supaya judi diharamkan dan menghapuskan segala industri dosa di negara ini, sekali gus mengekang dan memerangi ekonomi gelap yang mempunyai nilai RM300 bilion setahun.

Jelasnya, jika hal ini tidak ditangani, ia akan berterusan menimbulkan pelbagai akibat buruk ke atas warga melalui banyak aktiviti licik yang akan menjadikan jenayah semakin berkembang serta berselindung dalam pelbagai rupa.

- Advertisement -

“Usaha ini akan mengambil masa panjang untuk diatasi dan PAS sememangnya menyusun agenda bertindak jangka panjang untuk menanganinya. Untuk yang paling segera adalah melaksanakan hukuman berat kepada orang Islam yang terlibat dengan industri dosa.

“Di bawah kesalahan Takzir, contohnya 40 kali sebatan syarie, di mana ia memerlukan pindaan RUU355,” ujar beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Air dan Alam Sekitar menegaskan pendirian tersebut.

Menurut beliau, negeri yang PAS perintah termasuk bersama Umno melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terlebih dahulu melaksanakan langkah ke arah itu dengan tidak beri lesen premis judi terutama di kawasan penduduk Islam majoriti.

Jelas beliau mengulas isu cabutan khas judi 22 kali diluluskan Kementerian Kewangan, cadangan sebatan syarie kepada orang Islam terlibat judi dan penarikan lesen premis merupakan antara langkah awal boleh dibuat sehingga langkah-langkah lain yang membawa kepada pengharaman terus rumah judi dan judi cabutan.

“Selepas itu, kena hadapi kegiatan judi tidak berlesen pula, dan judi atas talian yang lagi mencabar untuk dihadapi sebenarnya. Kegiatan judi ni semasa PAS dalam BN dulu kita dah perangi. Ia bermula dengan kita desak kerajaan haramkan iklan-iklan judi dan arak yang berleluasa dalam media termasuk media kerajaan.

“Kalau kita masih ingat, TV dulu-dulu menayangkan siaran cabutan Sport Toto. PAS desak semua tu dihentikan siarannya. Bila PAS jadi kerajaan di Kelantan, Terengganu dan Kedah, kita tarik lesen premis judi melalui PBT.

“Sekarang sekali lagi jadi Kerajaan Persekutuan, kita akan usahakan antaranya hukuman lebih berat kepada orang Islam yang terlibat dengan judi, termasuk sebat di khalayak ramai menerusi peruntukan di bawah RUU355 atau langkah-langkah yang lain,” jelas beliau.

Terangnya cabutan judi ia diadakan 162 kali setahun di mana hasil keuntungannya diperolehi syarikat judi, manakala cabutan khas diadakan lapan kali setahun yang diserahkan kepada kerajaan untuk tujuan tertentu kepada bukan-Islam.

Perinci beliau, cabutan khas diperkenalkan sejak zaman Perdana Menteri Ke-4 untuk membiayai pampasan kepada penternak babi akibat virus nipah atau JE ketika itu dan dikekalkan oleh kerajaan seterusnya.

Katanya, walaupun terdapat desakan daripada pembangkang yang kononnya kesal dengan cabutan khas, sebenarnya ada dalam kalangan parti tersebut tetap menyokong judi terutamanya cabutan biasa tersebut.

Kerana jelas beliau, cabutan khas itu sememangnya tidak disukai syarikat judi yang tidak mendatangkan keuntungan buat mereka di mana parti pembangkang menjadi proksi menyuarakan ‘bantahan’ tersebut.

Tetapi katanya, mereka itu mendiamkan mengenai cabutan biasa kerana ia memberi keuntungan kepada parti tertentu yang mengaut dana dari industri dosa dan ekonomi gelap termasuk kegiatan gangsterisme. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -