Harakah tetap jadi pilihan pada usia 89 tahun

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Walaupun usia telah meningkat namun akhbar Harakah tetap menjadi pilihan dan tidak pernah ketinggalan setiap keluaran.

Ku Sepiah Ku Shahabuddin, 89, pembaca tegar akhbar berkenaan sejak 30 tahun lalu.

Warga emas Pondok Hutan Palas, Jerlun ini, dahulunya mendapatkan akhbar Harakah melalui sahabatnya yang sering bertandang ke rumahnya.

- Advertisement -

“Dulu, ada kawan tolong beli dan hantar ke rumah tapi sekarang anak-anak pula yang tolong belikan,” kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily di kediamannya semalam.

Menurut Ku Sepiah, melalui akhbar itu, beliau dapat mengetahui perkembangan dan maklumat berkenaan PAS selain ruang ilmu agama dan halaman bertulisan jawi.

“Tak adalah ruang-ruang tertentu yang menjadi pilihan. Selalunya saya baca semua tajuk. Kemudian cari bahan berita dari Kedah untuk saya baca dulu.

“Kalau tak baca Harakah, tak tahulah berita pasal PAS. Bukan ada orang nak mai cerita kat kita,” jelasnya lagi.

Walaupun Ku Sepiah sudah berusia namun kebolehan membacanya masih di tahap baik walaupun tanpa berkacamata.

Seperkara lagi, ujarnya, pengetahuan yang beliau perolehi dari Harakah akan dikongsi bersama rakan-rakan seangkatannya di pondok terbabit.

“Saya tak tau nak kempen macam mana. Tinggal di pondok ni macam-macam parti dok ada. Kawan tu macam ni, kawan ni macam tu.

“Jadi bila bersembang dengan depa, saya ceritalah apa yang saya baca dari Harakah tu,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 28/9/2021

- Advertisement -