Dasar Tenaga Negara panduan kepada pemegang taruh

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dasar Tenaga Negara yang diperkenalkan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) penting kepada pemegang taruh tenaga sebagai panduan yang jelas untuk mereka terus bergerak ke hadapan pada masa akan datang.

Pakar Sensor dan Teknologi Nano Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mohd Hanif Yaacob berkata panduan yang jelas mengenai peralihan tenaga yang berasaskan fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dapat membantu pemegang taruh tenaga mengetahui insentif atau sokongan yang bakal disediakan oleh kerajaan.

- Advertisement -

“Semua negara maju telah meletakkan beberapa tanda aras yang jelas berkenaan pemindahan tenaga daripada tenaga fosil kepada tenaga boleh diperbaharui.

“Kita bukan semata-mata mengikut mereka (negara maju) tapi pada masa depan, tenaga semua akan berkisarkan mengenai mampan, lestari dan menguruskan perubahan iklim. Jadi ini semua faktor utama mendorong kepada peralihan tenaga,” katanya kepada Bernama.

Mohd Hanif berkata ada pengeluar syarikat minyak dunia telah merancang untuk bertukar sebagai penyedia tenaga daripada petroleum kepada tenaga boleh diperbaharui dan usaha itu juga sedang dilaksanakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Petronas.

Beliau turut mencadangkan supaya diadakan sesi libat urus yang lebih banyak antara pemegang taruh, ahli saintis tenaga dengan kerajaan supaya dasar dan pembuatan polisi dapat dilaksanakan secara komprehensif dan realisitik.

“Pembekal tenaga yang terlibat dengan ekosistem tenaga perlu dilibatkan supaya perubahan daripada tenaga konvensional kepada tenaga yang lebih mampan ini dapat disambut lebih baik, kerana mereka tahu realiti bisnes dan teknologi yang sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) S Piapakaran berkata cadangan membina loji rawatan air sisa bersepadu untuk kawalan pencemaran pula akan dapat membantu sektor perindustrian mengurangkan kos perawatan air.

“Apabila air sisa setiap kilang dirawat dalam kuantiti yang banyak dengan menggunakan kaedah loji rawatan berpusat, maka kos dapat dikurangkan berbanding setiap satu kilang perlu merawat sendiri untuk memastikan ia menepati standard pelepasan air sisa yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -