Terengganu mula vaksinasi gelandangan

Foto daripada Facebook Ustaz Ahmad Shah Muhamed.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu memulakan program vaksinasi Covid-19 kepada golongan gelandangan di beberapa lokasi di sekitar daerah ini, malam tadi.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Mohamed berkata seramai 18 gelandangan telah menerima suntikan dos tunggal vaksin jenis CanSino.

- Advertisement -

Setakat ini, dianggarkan terdapat 50 gelandangan di sekitar daerah Kuala Terengganu.

“Sambutan yang diterima sangat baik kerana gelandangan telah diberi penerangan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sebelum ini sering menyantuni mereka mengenai kepentingan vaksin.

“Jadi, proses suntikan berjalan lancar cuma ada beberapa orang yang melarikan diri, mungkin tidak selesa melihat individu yang tidak dikenali turut serta. Kita akan kesan mereka agar tidak tercicir menerima vaksin secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses vaksinasi gelandangan yang turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pendaftaran Negara dan Persatuan Sosial Komuniti Terengganu di sini, malam tadi.

Sementara itu, seorang gelandangan Mohd Zulkifli Mohd Rani, 50, dari Kerteh, Kemaman berkata beliau bersyukur kerana kerajaan tidak meminggirkan mereka dalam mendapatkan vaksin.

“Saya tahu pasal vaksin sebab tengok televisyen di kedai makan di hentian bas ini, memang faham dan tak takut sebab NGO yang selalu datang pun pesan supaya bagi kerjasama yang baik kepada doktor.

“Bukannya lama, sekejap sangat proses cucuk (vaksin) dan tak rasa sakit langsung. Doktornya baik dan NGO yang biasa datang memang akan bagi makanan serta keperluan lain kepada kami di sini,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -