RMK12: Menteri Sabah, Sarawak optimistik jaminan selesai isu MA63

Datuk Seri Dr Maximus Ongkili
- Advertisement -

KOTA KINABALU: Menteri-menteri dari Sabah dan Sarawak optimistik dengan jaminan daripada Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk menyelesaikan isu dan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata jaminan yang diberikan Kerajaan Persekutuan menunjukkan ia serius dalam menyelesaikan masalah pembangunan dan keperluan asas dihadapi Sabah dan Sarawak.

- Advertisement -

“Dana pembangunan yang dikhususkan kepada negeri yang kurang maju terutama Sabah dan Sarawak adalah memberangsang. Tidak pernah sebelum ini dalam Rancangan Malaysia tumpuan sedemikian diberikan kepada Sabah dan Sarawak, MA63.

Isu pembangunan MA63 antara tumpuan ucapan PM (Perdana Menteri), dan beliau berkata akan turut terlibat dalam memantau pelaksanaan rancangan itu di Sabah dan Sarawak,” kata Presiden Parti Bersatu Sabah itu dalam satu kenyataan hari ini.  

Ongkili berkata Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) akan menubuhkan satu unit pemantauan bersama dengan Unit Perancang  Ekonomi (EPU) bagi memastikan pelan pelaksanaan infrastruktur berjalan menurut matlamat pembangunan MA63.

Semasa membentangkan RMK12 di Parlimen hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak akan terus diberikan keutamaan di bawah pelan lima tahun itu sejajar dengan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu mengenai permintaan kedua-dua negeri itu berkaitan MA63.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut berkongsi pandangan Maximus berkata beliau yakin kerajaan di bawah kepimpinan Ismail Sabri akan komited kepada pembangunan dua negeri itu, yang merupakan salah satu keutamaan di bawah RMK12.

“Selaku seorang Menteri Persekutuan kelahiran Sarawak, saya sememangnya berharap di bawah RMK12 lebih banyak pembangunan dan kemajuan berlaku di Sabah dan Sarawak maka kami akan boleh menikmati kemudahan dan infrastruktur serupa seperti penduduk Semenanjung Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga berharap hak warga di Sarawak dan Sabah seperti termaktub dalam MA63 akan dapat dituntut balik dalam tempoh RMK12 kerana penduduk di kedua-dua negeri berharap dapat menikmati satu tahap pembangunan yang sama dengan penduduk di Semenanjung.

Sarawak dan Sabah telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia pada 1963 kerana mereka kagum dengan sistem dan pembangunan yang dirancang dengan baik di Semenanjung Malaysia. Pemahaman kepada warga Sarawak dan Sabah apabila menyertai Malaysia ialah mereka juga boleh menikmati status pembangunan yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara membangun, Wan Junaidi berharap lebih perhatian akan diberi kepada pembangunan lestari, dengan lebih tumpuan diberikan ke arah memulihara alam sekitar, melindungi hidupan liar dan aktiviti perlombongan yang mesra alam.

Dalam semangat “Keluarga Malaysia”, beliau juga mengingatkan kerajaan supaya tidak terlepas pandang tahap kegembiraan rakyat dan memastikan setiap orang boleh menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.

“Malaysia adalah sebuah negara membangun dan kebanyakan rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Oleh itu tibalah masa untuk kita melihat kepada isu mengenai kemiskinan bandar, perumahan mampu milik, peningkatan keselamatan sosial dan program pembasmian kemiskinan yang lebih berkesan,” katanya.

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata kerenah birokrasi perlu dikurangkan dan mengelak adanya “Little Napoleon” agar semua agenda pembangunan di bawah RMK12 termasuk untuk Sabah dan Sarawak dapat dijayakan sepenuhnya.

Nanta berkata RMK12 perlu dipastikan dapat berjaya mengangkat tahap pembangunan negara dan mensejahterakan rakyat secara saksama.

“Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri penting bagi memastikan segala projek berjalan lancar, sebab itu kita nak kestabilan politik,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -