Pemangkin kemakmuran yang inklusif dan mampan

Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)

- Advertisement -

SAYA mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri di atas pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Parlimen sebentar tadi. Saya meneliti pembentangan beliau itu dan mendapati bahawa RMK-12, merungkai pelbagai aspek kehidupan rakyat dan memacu jalan ke depan dengan baik dan terperinci.

RMK-12 merangkumi 14 pemacu perubahan utama melibatkan strategi pembangunan ekonomi yang kukuh, suasana perniagaan yang berdaya saing, pengukuhan institusi pendidikan, kesihatan serta teknologi selain mengurangkan kesenjangan wilayah.

Saya berpandangan RMK-12 telah menyentuh pelbagai aspek pembangunan negara secara komprehensif. Rangka strategi yang berasaskan kepada tiga tema iaitu Menjana Semula Ekonomi, Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan dan Inklusiviti serta Melonjakkan Kemampanan menjadikan RMK-12 adalah dokumen dasar negara yang hadir tepat pada masanya mendepani fasa pemulihan pasca-pandemik. 

- Advertisement -

Kesemua dasar sedia ada serta dasar baharu memerlukan kepada penglibatan semua pihak dalam pendekatan ‘whole of society’ serta ‘whole of nation’ bagi memastikan ia dipacu dengan lancar serta mencapai fokus bidang keberhasilan yang telah dirangka. 

Saya mengharapkan agar kesemua perancangan ini bukan sahaja cantik di atas kertas, bahkan turut diteliti daripada sudut pelaksanaan dan pengoperasiannya. Elemen penyampaian serta pemantauan dasar sangat memainkan peranan dalam memastikan segala perancangan ini menghasilkan impak yang positif kepada rakyat. 

Tambahan lagi, kerajaan juga perlu membangunkan suatu pangkalan data raya yang berpusat bagi membantu semua pihak memantau segala perancangan yang telah dirangka dalam melonjakkan negara ke era negara maju kelak. Hal yang demikian memerlukan kepada suatu bentuk tadbir urus yang transparent dan terbuka serta bersesuaian dengan semangat kemakmuran milik bersama yang dilaung-laungkan oleh kerajaan

Sekian, terima kasih.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

DATO’ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -