Pemaju gula-gulakan nelayan sokong projek PSR

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

GEORGTOWN:
Nelayan Selatan Pulau Pinang tekad tidak akan berhenti memperjuangkan kelestarian alam selagi kerajaan negeri masih mahu meneruskan projek tambakan laut di Selatan Pulan Pinang (PSR).

Menurut Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail, kelestarian alam mempunyai kepentingan yang serupa dengan keselamatan ekonomi, makanan, kesihatan peribadi, komuniti dan politik.

Katanya, kemusnahannya akan memberi ancaman dan bencana kepada manusia kerana sikap tidak bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

- Advertisement -

“Kami kita tidak akan berdiam diri. Sekarang difahamkan pemaju sedang menggula-gulakan nelayan bagi menyokong projek tersebut.

“Kami juga mendesak supaya dinilaikan semula Seri Tanjung Pinang (STP) 1 dan 2. Banyak mana peluang pekerjaan yang nelayan di sana dapat?

“Apa yang berlaku kepada nelayan di sana?” kata Zakaria pada webinar Kuasa Rakyat baru-baru ini.

Pada 8 September lepas Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan mengetepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) projek tambak laut bagi membentuk tiga pulau buatan di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS yang diketuai Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub dan pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr. Ramdzani Abdullah (Universiti Putra Malaysia).

Keputusan itu menyebabkan kelulusan EIA bagi projek berkenaan yang diperoleh pada 25 Jun 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Pada 29 Julai 2019 Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail memfail notis rayuan kepada Lembaga Rayuan JAS oleh di bawah seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974).

Zakaria berkata, sekiranya kerajaan negeri berhasrat mahu membantu nelayan hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan bukannya terdapat agenda di sebaliknya.

“Tunjuklah keikhlasan, bukan apabila hendak tambak, baru hendak tawarkan ex-gratia, sampan, perahu dan sebagainya tanpa surat hitam putih,” katanya.

Justeru itu kata beliau nelayan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang menentang PSR akan sentiasa berhati-hati sebarang tipu helah untuk meneruskan projek tersebut.

Katanya, dengan semangat bersatu padu dipamerkan nelayan menolak projek berkenaan, diyakini pemaju dan kerajaan negeri tidak berani untuk menipu nelayan dan penduduk sekitar.

“Mereka bukan mahu mengangkat martabat nelayan, tetapi meruntuhkan dengan sogokan seperti wang ringgit, sampan dan enjin. Malah, tidak mengotakan janji.

“Hentikan agenda tersebut, buat malu sahaja, kami tidak gelojoh. Jangan ingat kami gelojoh dan tamak seperti pemaju,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -