PAS Sabah bantu 130 keluarga mangsa banjir di Kota Belud

- Advertisement -

Oleh SUZIELA SALLEH

KOTA BELUD: Lebih 130 keluarga mangsa banjir di daerah ini menerima bantuan keperluan harian daripada PAS Sabah, di sini pada Sabtu.

Bantuan itu disampaikan oleh PAS Kota Belud dengan kerjasama Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah (DMPNS), badan bukan kerajaan (NGO) Sabah Relief dan Khidmat Malaysia Sabah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abd Majid berkata misi bantuan itu adalah yang ketiga dilakukan selepas berlaku musibah banjir di daerah ini.

- Advertisement -

“Kami turun padang menyampaikan bantuan tersebut di tiga buah kampung termasuklah Kampung Kota Bungan, Kampung Sembirai dan Kampung Lebak Engad.

“Sebelum ini, sebanyak 80 bakul makanan telah disampaikan di Kampung Song Song, Kampung Marajah dan Kampung Donggoi pada 22 dan 23 September baru-baru ini,” katanya yang juga Pengerusi Khidmat Malaysia negeri.

Tambahnya, misi bantuan kebajikan kepada rakyat itu akan diteruskan tanpa mengira agama, politik dan budaya.

“PAS Sabah komited dalam menyantuni rakyat di negeri ini terutamanya yang terlibat dengan musibah,” katanya.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Aminuddin Aling, Pengerusi Lajnah Kebajikan (LKK) PAS negeri, Ustaz Mustaqim Aling dan Pengerusi LKK DMPNS, Nur Izzati Yusof, Timbalan Yang Dipertua dan Setiausaha PAS kawasan, Ustaz Adzmin Awang dan M Kasan Gamah serta Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Ustaz Tarmizi Yahya juga hadir.

Sementara itu, Ketua Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu yang menyertai misi bantuan itu turut beramah mesra dengan Timbalan Pengerusi Masjid An-Nur, Kampung Lebak Engad.

Katanya, Masjid An-Nur adalah paling terjejas teruk disebabkan kedudukannya yang berhampiran dengan sungai.

Tambahnya, menurut yang diceritakan oleh Timbalan Pengerusi Masjid berkenaan, pernah berlaku kes kematian di sungai tersebut yang meragut beberapa nyawa.

“PAS Sabah turut dukacita dengan musibah yang menimpa kampung tersebut dan diharapkan bantuan yang disampaikan dapat meringan sedikit bebanan yang mereka tanggung,” katanya.

Imam Masjid An-Nur, Madin Zinin pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua penyumbang yang memberikan bantuan kepada penduduk.

“Kami sangat bersyukur kepada PAS Sabah kerana dapat menyalurkan bantuan ini, semoga budi baik semua yang menyumbang akan dibalas oleh Allah dengan sebaiknya.

“Saya berharap pertemuan ini tidak setakat hari ini sahaja dan kampung kami sentiasa menunggu kehadiran PAS Sabah pada bila-bila masa sahaja,” ujarnya.

Untuk rekod, sebanyak 25 kampung di daerah Kota Belud telah ditengelami air dengan paras bahaya sehingga 6.35 meter pada 22 September lalu.

PAS Sabah serta beberapa NGO telah menyampaikan bakul makanan dan mengadakan aktiviti gotong royong di kawasan Beaufort, Penampang, Sepanggar dan Papar. – HARAKAHDAILY 27/9/2021

- Advertisement -